KUCHING: Kehadiran pesakit asma di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Umum Sarawak meningkat pada beberapa hari sepanjang Ogos susulan kemerosotan kualiti udara, namun pemantauan keseluruhan tidak menunjukkan peningkatan berterusan yang ketara dalam kes asma di negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, aktiviti asma secara keseluruhannya kekal stabil di peringkat Sarawak walaupun terdapat peningkatan kes berkaitan kesihatan susulan kemerosotan kualiti udara sejak awal Ogos lalu.
“Sejak kemerosotan kualiti udara yang diperhatikan pada awal Ogos, pemantauan kesihatan menunjukkan sedikit peningkatan kes URTI dan peningkatan lebih ketara dalam kes konjunktivitis, manakala aktiviti asma secara keseluruhannya kekal stabil di peringkat Sarawak,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau yang juga merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) kini memantau penyakit berkaitan jerebu menerusi 15 fasiliti kesihatan sentinel di seluruh Sarawak dengan memberi tumpuan kepada jangkitan saluran pernafasan atas (URTI), asma dan konjunktivitis.
Katanya, dari Januari hingga akhir Ogos 2026, fasiliti berkenaan merekodkan kira-kira 694,800 kunjungan pesakit termasuk 64,688 kes URTI dan 6,156 kes asma.
Dalam pada itu, kes URTI di Sarawak meningkat kepada purata kira-kira 1,752 kes seminggu susulan kemerosotan kualiti udara sejak awal Ogos lalu, berbanding kira-kira 1,717 kes seminggu yang direkodkan pada awal tahun.
Menurutnya, peningkatan kes URTI turut dikesan dengan ketara pada pertengahan Ogos, terutama di tiga zon iaitu Zon Selatan dengan kira-kira 1,250 kes, Zon Tengah melebihi 1,000 kes dan Zon Utara hampir 400 kes.
Sim berkata, kualiti udara buruk boleh menjejaskan semua individu, namun beberapa golongan lebih terdedah kepada kesannya, khususnya individu yang mempunyai penyakit pernafasan atau kardiovaskular, termasuk asma dan penyakit pernafasan kronik.
Golongan berisiko lain termasuk kanak-kanak dan bayi, warga emas, wanita hamil serta individu yang bekerja di luar.
Beliau menggesa golongan berkenaan mengambil langkah berjaga-jaga tambahan apabila kualiti udara merosot.
Dalam tempoh kualiti udara buruk, orang ramai dinasihatkan mengurangkan aktiviti fizikal serta menangguhkan aktiviti rekreasi dan sukan di luar, terutama ketika kualiti udara berada pada tahap buruk.
Orang ramai juga digalakkan berada di dalam bangunan apabila boleh serta menutup pintu dan tingkap bagi mengurangkan kemasukan udara tercemar ke rumah, sekolah dan tempat kerja.
Mereka yang perlu berada di luar pula disarankan memakai pelitup muka yang sesuai, sebaik-baiknya respirator N95 kerana ia memberikan penapisan lebih baik terhadap zarah halus seperti PM2.5.
Selain itu, orang ramai dinasihatkan minum air kosong secukupnya, mencuci muka dan tangan secara berkala, khususnya selepas menghabiskan masa di luar serta mendapatkan rawatan perubatan segera sekiranya mengalami batuk berterusan, kesukaran bernafas, sesak dada, kerengsaan mata yang teruk atau gejala asma yang semakin buruk.
Sim berkata, Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta JKNS terus memantau rapat kesan kesihatan akibat keadaan jerebu di seluruh negeri.
Beliau memberi jaminan fasiliti kesihatan Sarawak kekal bersedia dan mempunyai bekalan mencukupi untuk menangani keadaan semasa.
Katanya, stok ubat-ubatan dan bekalan perubatan penting termasuk pelitup muka tiga lapis, pelitup muka N95 serta silinder oksigen adalah mencukupi berdasarkan penggunaan semasa.
Sim berkata, orang ramai tidak seharusnya berasa cemas secara berlebihan, namun risiko kesihatan akibat pendedahan berpanjangan kepada kualiti udara buruk tidak wajar dipandang ringan.
“Kerajaan Sarawak bersama JKNS dan agensi berkaitan akan terus memantau keadaan serta memperkukuh tindak balas berdasarkan tahap kualiti udara dan hasil pemantauan kesihatan semasa.
“Orang ramai digesa mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi dan mematuhi nasihat kesihatan yang dikeluarkan apabila kualiti udara merosot,” ujarnya.




