PONTIANAK: Setiausaha Dinas Alam Sekitar dan Perhutanan (DLHK) Provinsi Kalimantan Barat (Kalbar), Ganda Butarbutar berkata, berdasarkan hasil pemantauan dan penilaian pantas sistem SIPONGI sehingga 31 Ogos 2026, sebanyak 7,377 tompok panas dikesan di seluruh wilayah Kalimantan Barat (Kalbar).
SIPONGI ialah sistem pemantauan kebakaran hutan dan tanah milik Indonesia.
Daripada jumlah itu, 455 tompok berada pada tahap tinggi, 6,842 titik pada tahap sederhana dan 80 titik pada tahap rendah.
“Data pemantauan menunjukkan taburan tompok panas masih agak tinggi di beberapa kawasan,” katanya seperti dilaporkan Pontianak Post versi online hari ini.
Oleh itu, katanya, semua Unit Pelaksana Teknikal (UPT) Kesatuan Pengurusan Hutan (KPH) bersama Tentera Nasional Indonesia (TNI), Kepolisian Negara Republik Indonesia (Polri), Badan Nasional/Daerah Penanggulangan Bencana (BNPB/BPBD), Manggala Agni, pasukan petugas syarikat serta Masyarakat Peduli Api (MPA), terus menjalankan rondaan, pemadaman serta pemantauan secara intensif di lapangan.
Menurut Ganda, Daerah (Kabupaten) Ketapang mencatat jumlah tompok panas tertinggi dengan 3,176 tompok, diikuti Kabupaten Kubu Raya sebanyak 1,352 tonpok dan Kabupaten Kayong Utara sebanyak 837 tompok.
Sementara itu, Gabenor Kalimantan Barat, Ria Norsan menegaskan kerajaan negeri bersama seluruh elemen Pasukan Petugas Kebakaran Hutan dan Tanah (Karhutla) terus mengoptimumkan usaha menangani kebakaran hutan dan tanah di pelbagai wilayah Kalimantan Barat (Kalbar), susulan peningkatan jumlah tompok panas serta kemerosotan kualiti udara di beberapa kawasan.
“Semua anggota dan sumber yang ada terus kita kerahkan secara maksimum. Tindakan dilakukan secara bersepadu dan berterusan bagi memastikan titik kebakaran dapat dikawal segera serta tidak merebak menjadi kebakaran lebih besar,” kata Norsan menurut Potianak Post.
Menurutnya, strategi yang sedang dilaksanakan merangkumi peningkatan rondaan menggunakan kenderaan dan pemadaman awal (initial attack) selama 24 jam di kawasan berisiko, operasi pemadaman pada waktu malam, memperkukuh pembasahan semula tanah gambut (rewetting), selain meningkatkan penyelarasan bagi sokongan pemadaman dari udara melalui operasi water bombing.
“Kami meminta semua petugas di lapangan terus memperkukuh rondaan dan pemadaman awal. Lebih cepat kebakaran dikesan dan dipadamkan, lebih kecil risiko api merebak, terutama di kawasan gambut yang sangat mudah terbakar,” katanya.
Norsan menambah, operasi pada waktu malam menjadi antara strategi penting kerana suhu yang lebih rendah dan kelembapan udara yang lebih tinggi dapat membantu meningkatkan keberkesanan pemadaman. Selain itu, kerajaan turut mengoptimumkan pembinaan sekatan bakar serta penggunaan pam bertekanan tinggi bagi mengekalkan kelembapan tanah gambut yang kering.




