MIRI: Sebanyak 20 motosikal disita dalam Ops Samseng Jalanan yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak bersama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Miri di sekitar bandar raya ini, awal pagi tadi.
Menurut kenyataannya, operasi bermula 10.00 malam hingga 4.30 pagi itu melibatkan rondaan dan penguatkuasaan di beberapa lokasi termasuk Jalan Tanjung Lobang, Jalan Piasau, Jalan Marina dan Jalan Grand Old Lady serta kawasan tumpuan penunggang motosikal.
“Sebanyak 63 motosikal diperiksa dalam operasi yang dilaksanakan sempena ambang Merdeka itu.
“Hasil pemeriksaan mendapati beberapa kesalahan dikesan termasuk lesen memandu percubaan tamat tempoh, pengubahsuaian struktur dan peralatan kenderaan serta kesalahan teknikal lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

JSPT Miri mengeluarkan 35 notis atas pelbagai kesalahan manakala JPJ Miri turut mengeluarkan 47 notis.
Selain itu, 20 motosikal disita oleh JSPT Miri untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Tambahnya, operasi bersepadu itu bertujuan membendung aktiviti samseng jalanan dan lumba haram selain memastikan keselamatan pengguna jalan raya.
Kerjasama antara JPJ dan JSPT Miri akan terus diperkukuh bagi memastikan aspek keselamatan serta ketenteraman pengguna jalan raya sentiasa terpelihara.





