KUCHING: Pengamal media digesa mengutamakan nilai kemanusiaan dan sensitiviti ketika melaporkan kejadian tragedi, khususnya dalam pemilihan gambar serta bahan yang boleh menjejaskan maruah dan emosi mangsa serta keluarga.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, berkata walaupun sesuatu kejadian mempunyai nilai berita, aspek kemanusiaan tidak harus diketepikan semata-mata untuk menarik perhatian pembaca.
Menurutnya, penyiaran gambar mangsa yang mengalami kecederaan parah atau meninggal dunia secara jelas boleh menimbulkan trauma kepada masyarakat dan keluarga yang terlibat.
“Kita perlu ada sensitiviti. Kalau laporan itu mempunyai nilai berita, kita tidak semestinya perlu pergi terlalu jauh sehingga menyiarkan gambar yang boleh menjejaskan maruah mangsa atau keluarga.
“Kadang-kadang kita perlu melihat sesuatu perkara daripada perspektif orang awam yang membaca dan memahami apa yang cuba disampaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Bengkel Komunikasi Krisis Strategik dan Pengurusan Media untuk Pemimpin Kerajaan di sini, hari ini.
Abdullah berkata pengamal media dan pegawai perhubungan awam (PRO) berdepan cabaran besar dalam landskap media sosial yang pantas berubah, termasuk keperluan memastikan maklumat yang disampaikan tepat, sahih dan tidak mencetuskan keresahan awam.
Katanya, media mempunyai peranan penting dalam membetulkan persepsi serta menjelaskan perkara sebenar apabila berdepan isu yang menjadi perhatian masyarakat.
“Semua orang mempunyai tempat dalam landskap media untuk menghasilkan cerita bagi membetulkan cerita yang sebenarnya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan setiap kementerian dan agensi kerajaan perlu memandang serius fungsi komunikasi dan perhubungan awam kerana unit berkenaan memainkan peranan penting dalam mengurus imej organisasi serta menangani krisis.

Katanya, PRO tidak seharusnya hanya dilihat sebagai pegawai yang menguruskan majlis atau tugas-tugas protokol, sebaliknya perlu dilibatkan secara aktif dalam perancangan komunikasi dan pengurusan isu.
“Peranan saudara-saudari dalam agensi, dalam aktiviti perhubungan awam dan media ini harus diberi perhatian oleh pihak pengurusan dan kerajaan,” katanya.
Abdullah turut mengingatkan PRO supaya sentiasa mengetahui perkembangan asas berkaitan kementerian atau agensi masing-masing bagi membolehkan mereka memberikan maklumat dan pandangan yang tepat apabila berdepan sesuatu isu.
Menurutnya, pegawai perhubungan awam perlu mempunyai pengetahuan yang luas mengenai fungsi, program, projek dan isu semasa organisasi kerana mereka menjadi antara penghubung penting antara kerajaan dengan masyarakat.
Beliau berkata keupayaan itu juga penting bagi membolehkan PRO bertindak sebagai sumber maklumat kepada pemimpin apabila berlaku krisis.
“Kadang-kadang mereka ada maklumat yang boleh membantu tuan dan puan sebagai pemimpin agensi atau kementerian. Kalau mereka takut untuk berkongsi maklumat, mereka akan simpan sahaja dan apabila krisis berlaku barulah timbul persoalan mengapa perkara itu tidak dimaklumkan lebih awal,” katanya.
Abdullah berkata pengurusan krisis turut memerlukan tindakan pantas, keupayaan menjangka risiko dan sikap berwaspada dalam kalangan pegawai yang mengendalikan komunikasi.
Beliau mengambil isu banjir di Sumatera, khususnya Aceh, sebagai contoh bagaimana kelewatan pihak berkuasa bertindak balas terhadap kemarahan rakyat dan persepsi berkaitan bantuan boleh menyebabkan sesuatu isu berkembang menjadi krisis kepercayaan.
“Ini satu kes yang boleh kita lihat sebagai kajian kes. Mereka gagal bertindak pantas, gagal menjangka dan gagal berwaspada sehingga nama kerajaan turut terpalit,” katanya.
Menurutnya, perkembangan media sosial juga menjadikan pengurusan krisis lebih mencabar apabila masyarakat boleh mendapatkan, berkongsi dan memberi pandangan terhadap sesuatu isu dalam tempoh yang sangat singkat.

Beliau berkata keadaan itu menuntut PRO dan pengamal media supaya lebih berhati-hati dalam memilih perkataan, menyampaikan fakta serta memahami kesan sesuatu maklumat kepada masyarakat.
Dalam perkembangan sama, Abdullah menggalakkan kementerian dan agensi kerajaan memperbanyakkan komunikasi proaktif dengan media bagi menerangkan perkembangan serta pencapaian masing-masing kepada masyarakat.
Katanya, kementerian boleh berkongsi perkembangan projek atau inisiatif secara berkala bagi merapatkan jurang maklumat dan kefahaman antara kerajaan dengan rakyat.
“Kadang-kadang sesuatu projek belum siap, tetapi kita boleh berkongsi mengenai hala tuju dan apa yang sedang dilakukan supaya orang ramai tahu apa yang berlaku,” katanya.
Beliau turut menegaskan kepentingan kerjasama erat antara PRO, agensi kerajaan dan media dalam memastikan maklumat yang tepat dapat disampaikan kepada masyarakat, terutama ketika berdepan isu atau krisis.
Katanya, hubungan yang baik antara semua pihak membolehkan perkongsian maklumat dan penyelesaian isu dilakukan dengan lebih berkesan.
Sementara itu, Abdullah berkata bengkel berkenaan akan diteruskan dari semasa ke semasa dalam skala yang bersesuaian bagi meningkatkan kemahiran serta kesiapsiagaan pegawai dalam komunikasi krisis dan pengurusan media.
Beliau turut memberi jaminan akan memberi perhatian terhadap peranan pegawai perhubungan awam di kementerian dan agensi supaya fungsi berkenaan tidak dipandang ringan.
Bengkel anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) selama dua hari itu disertai lebih 150 peserta terdiri daripada PRO jabatan dan agensi kerajaan negeri serta Persekutuan, badan berkanun, pihak berkuasa tempatan (PBT), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan rakan strategik media.
Bengkel berkenaan turut memberi pendedahan kepada peserta mengenai strategi komunikasi krisis, pengurusan media serta kaedah mengendalikan komunikasi ketika berdepan situasi bertekanan tinggi. Sesi hari pertama disampaikan Profesor Madya Dr. Bahtiar Mohamad, manakala hari kedua oleh Profesor Madya Dr. Nik Adzrieman Abdul Rahman.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee dan Pengarah UKAS Awang Putrayusrie Awang Redzuan.
Oleh Afiq Sallehi





