Sarawak terus perkasa liputan internet, RM185 juta tingkat kestabilan telekomunikasi luar bandar

Facebook
WhatsApp
USAHA BERTERUSAN...Julaihi dan Awang Tengah pada Majlis Pertukaran Memorandum Perjanjian (MOA): Pendigitilan Kesalinghubungan Limbang dan Lawas.

LAWAS: Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) terus mempergiat usaha meningkatkan liputan internet di seluruh negeri sebagai sebahagian agenda merealisasikan Sarawak sebagai negeri berteknologi digital.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Sri Julaihi Narawi berkata, kerjasama antara Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) dan Sarawak Energy Berhad (SEB) akan memudahkan usaha menaik taraf infrastruktur telekomunikasi di lapangan.

“Kita sedang meningkatkan liputan internet. Secara perbandingan, saya boleh katakan kita sedang memperbaikinya dan walaupun belum mencapai 100 peratus, usaha memperluaskan sambungan internet ini terus dilaksanakan.

“Seperti yang kita saksikan, agensi kita, SDEC dan SEB telah mengambil langkah menjalinkan kerjasama lebih erat bagi membolehkan kemudahan infrastruktur SEB digunakan oleh SDEC untuk menempatkan peralatan berkaitan bagi meningkatkan sambungan internet,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pertukaran Memorandum Perjanjian (MOA) Pendigitalan Kesalinghubungan Limbang dan Lawas di sebuah hotel di sini pada Rabu.

Turut hadir Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Julaihi berkata, SACOFA yang merupakan agensi milik kerajaan Sarawak juga sedang melaksanakan proses pemodenan liputan telekomunikasi di seluruh negeri, khususnya rangkaian di kawasan luar bandar.

“Usaha ini terus berjalan dan kini telah mencapai kemajuan 50 peratus bagi seluruh negeri Sarawak yang mempunyai kawasan luas serta mencabar.

“Pada masa sama, sejumlah RM185 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan Sarawak untuk meningkatkan kestabilan liputan telekomunikasi di seluruh kawasan luar bandar di Sarawak,” katanya.

Menurutnya, usaha berterusan itu mencerminkan komitmen tinggi kerajaan Sarawak dalam meningkatkan capaian internet dan memperkukuh kesalinghubungan digital di seluruh negeri, khususnya di kawasan luar bandar.