SIBU: Pelaksanaan duti setem berasaskan nilai tanah terhadap perjanjian usahasama antara pemaju perumahan dan pemilik tanah dikhuatiri meningkatkan kos pembangunan serta memberi kesan kepada kemampuan rakyat Sarawak memiliki rumah.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, kerajaan Persekutuan perlu mengkaji semula dasar berkenaan dengan mengambil kira keunikan model pembangunan hartanah di Sarawak.
Menurutnya, berbeza dengan kebanyakan pembangunan di Semenanjung, banyak projek perumahan di Sarawak dilaksanakan menerusi kaedah usahasama antara pemaju dan pemilik tanah.
“Bagaimanapun, pemeteraian perjanjian usahasama belum bermakna projek berkenaan boleh terus dilaksanakan kerana masih tertakluk kepada proses kelulusan termasuk daripada pihak berkuasa perancangan negeri,” ujarnya ketika berucap merasmikan Ekspo Rumah & Hartanah SHEDA 2026 di Wisma Sanyan di sini, hari ini.

“Di bawah dasar baharu ini, duti setem dikenakan berdasarkan nilai tanah pada kadar antara satu hingga empat peratus.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan itu berkata, beban kewangan tambahan pada peringkat awal pembangunan berpotensi memberi tekanan kepada industri perumahan negeri, terutama apabila pemaju turut berdepan kos logistik dan bahan binaan yang lebih tinggi berbanding Semenanjung.
“Jika mereka membeli tanah sendiri, sudah tentu mereka perlu membayar duti setem mengikut nilai tanah. Tetapi kebanyakan pemaju kita di Sarawak hanya merupakan pemaju usahasama, mereka bukan pemilik tanah.
“Menandatangani dokumen tidak bermakna projek itu akan terus dilaksanakan kerana masih perlu mendapatkan kelulusan dan melalui proses perancangan yang panjang,” katanya.
Beliau berharap Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan semula pelaksanaan berkenaan agar tidak menambah tekanan terhadap kos pembangunan perumahan di Sarawak.
Dalam pada itu, Tiang berkata, kerajaan Sarawak terus memperkukuh usaha membantu golongan B40, M40 dan pembeli rumah pertama menangani kekangan kewangan, termasuk menerusi skim bantuan deposit perumahan.
Beliau memberitahu, setakat Julai tahun ini, seramai 387 pemohon telah menerima manfaat daripada bantuan berkenaan.
“Saya menasihatkan bakal pembeli rumah supaya membuat semakan menyeluruh terhadap projek, pembiayaan serta komitmen kewangan sebelum membuat keputusan pembelian,” katanya.
Menurutnya, Ekspo Rumah & Hartanah SHEDA 2026 turut menyediakan platform kepada orang ramai untuk mendapatkan maklumat berkaitan hartanah, membandingkan pilihan serta mendapatkan nasihat secara langsung daripada pemaju, institusi kewangan dan agensi kerajaan.
Turut hadir Pengerusi SHEDA Cawangan Sibu, Wong Siong Nee.
Oleh Akun Giman





