14 penerima terima bantuan peralatan Sejahtera MADANI bernilai RM70,000

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Nancy Shukri menyempurnakan penyerahan bantuan kepada salah seorang penerima Program Sejahtera MADANI: Peningkatan Pendapatan bagi kawasan Parlimen P.193 Santubong di Dewan Serbaguna Kampung Pasir Pandak, Kuching, hari ini.

KUCHING: Seramai 14 penerima menerima bantuan peralatan bernilai keseluruhan RM70,000 menerusi Program Sejahtera MADANI: Peningkatan Pendapatan yang dilaksanakan di bawah kawasan Parlimen P.193 Santubong, hari ini.

Program berkenaan disempurnakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri, di Dewan Serbaguna Kampung Pasir Pandak, di sini.

Bantuan tersebut disalurkan kepada penerima daripada pelbagai latar pekerjaan, termasuk mekanik automotif, nelayan, penjahit pakaian, tukang gunting rambut, peniaga dan penghantar perkhidmatan domestik (rider).

Menurut Nancy, pemberian bantuan dalam bentuk peralatan yang disesuaikan dengan pekerjaan masing-masing membolehkan penerima menggunakannya secara langsung untuk memperkukuh pekerjaan, meningkatkan produktiviti serta menambah pendapatan keluarga.

Beliau berkata, pendekatan itu penting kerana keperluan setiap penerima adalah berbeza berdasarkan bidang pekerjaan dan aktiviti ekonomi yang diceburi.

“Latar belakang pekerjaan yang berbeza ini menunjukkan bahawa usaha meningkatkan pendapatan rakyat memerlukan pendekatan yang bersesuaian dengan keperluan dan bidang pekerjaan masing-masing,” katanya.

Nancy berkata inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha memperkasa rakyat supaya mampu berdikari dan meningkatkan taraf kehidupan melalui pekerjaan serta aktiviti ekonomi yang diceburi.

Katanya, pembangunan komuniti bukan hanya tertumpu kepada penyediaan kemudahan, sebaliknya rakyat juga perlu diberikan peluang dan sokongan untuk meningkatkan keupayaan ekonomi.

“Apabila sesebuah keluarga mampu berdikari dan mempunyai pendapatan yang lebih stabil, mereka bukan sahaja dapat membina kehidupan yang lebih baik, tetapi juga dapat keluar daripada kitaran kemiskinan,” katanya.

Bagi Zon Kuching, sebanyak RM515,000 telah dibelanjakan untuk bantuan peralatan yang meliputi pelbagai daerah di zon berkenaan.

Di peringkat negeri pula, sejumlah RM1.49 juta diperuntukkan bagi bantuan peralatan kepada isi rumah (IR) yang berdaftar dalam sistem eKasih di seluruh Sarawak.

Nancy turut menasihati semua penerima supaya memanfaatkan bantuan berkenaan sebaik-baiknya, selain meningkatkan kemahiran dan mutu perkhidmatan bagi memastikan pekerjaan masing-masing terus berkembang.