KATHMANDU, Nepal: Glasier runtuh menyebabkan aktiviti seismik dan kesan “malapetaka” di kawasan hilir Nepal dan Tibet, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Agensi itu berkata aktiviti seismik yang pada mulanya dilaporkan sebagai gempa bumi “sebenarnya merupakan keruntuhan glasier dan aliran serpihan” yang “menyebabkan kesan malapetaka seterusnya di kawasan hilir”.
Sekurang-kurangnya 160 maut akibat arus deras air dan serpihan yang melanda kawasan hilir di kedua-dua belah sempadan Nepal-Tibet, manakala ratusan lagi dilaporkan hilang di kedua-dua kawasan.
Punca bencana itu masih belum diketahui beberapa jam selepas kejadian berlaku pada awal Rabu.
Bagaimanapun, Menteri Luar Nepal, Shishir Khanal, berkata gempa bumi berkemungkinan mencetuskan tanah runtuh yang kemudiannya menghalang aliran sungai dan menyebabkan air mengalir deras ke kawasan hilir.
Antara teori lain yang dikemukakan termasuk banjir tasik glasier, iaitu apabila tembok serpihan yang rapuh dan menahan air leburan glasier runtuh, atau runtuhan ais.
USGS berkata “kejadian seismik bermagnitud 5.2 berlaku berhampiran sempadan antara Nepal dan China pada 26 Ogos pada 8.37 pagi waktu tempatan.”
“Kejadian ini pada mulanya dilaporkan sebagai gempa bumi bermagnitud 4.4. Analisis lanjut terhadap stesen seismik berdekatan, gelombang seismik tempoh panjang dan imejan satelit membawa kepada penentuan bahawa kejadian seismik itu sebenarnya merupakan keruntuhan glasier dan aliran serpihan, dan bahawa tiada gempa bumi berlaku.” – AFP




