BETONG: Kira-kira 2,000 penduduk di kawasan Ulu Spak boleh menarik nafas lega apabila pembinaan Jambatan Linsum yang bernilai RM44 juta telah siap dibina baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Gerald Rentap Jabu menjelaskan dengan siapnya pembinaan jambatan terbabit ia sekali gus menjadi penghubung utama penduduk rumah panjang di sekitar Ulu Spak untuk keluar masuk di kawasan sekitar.
Menurutnya lagi ia mampu memendekkan masa perjalanan ke Bandar Betong sehingga satu jam setengah berbanding enam jam menggunakan pengangkutan sungai.
“Jambatan Linsum yang merentangi Sungai Layar sepanjang 70 meter merupakan jambatan kelima dan terakhir siap bagi projek menaik taraf Jalan Linsum ke Ijok dan Kerapa, Spak.
“Jalan ini menghubungkan rumah panjang Linsum, Mara, Melanjan, Temedak, Jelang, Luing, Grugu, Penyuin, Ijok dan Krapa Spak. Malah, bersambung juga ke Klinik Kesihatan Nanga Mujau, kemudian ke Jalan Nanga Mujau dan Batu Lintang.
“Dengan siapnya pembinaan jambatan ini, penduduk yang tinggal di rumah panjang paling jauh dapat ke Bandar Betong dalam masa perjalanan satu jam setengah berbanding enam jam melalui sungai,” katanya semasa melakukan tinjauan ke Jambatan Linsum dekat sini, baru-baru ini.
Rentap berkata, beliau komited membawa perubahan dan memastikan penduduk di kawasannya tidak ketinggalan dari segi infrastruktur asas dan kemudahan lain.
“Saya telah menyedari bahawa kepayahan dan keperitan penduduk di sini untuk berkebun dan bertani serta juga membawa keluar hasil pertanian dan buah-buahan yang hanya menggunakan perahu sebelum ini.
“Kini apabila siapnya Jambatan Linsum ini, diharap pendudul di sini yang rata-ratanya menjadikan aktiviti pertanian sebagai sumber pendapatan tidak lagi mengalami kepayahan untuk pergi serta membawa hasil tani mereka keluar dari kawasan seberang sungai.
“Usaha ini menunjukkan bahawa Kerajaan Sarawak tidak pernah leka dan mengabaikan tanggungjawab terhadap rakyat,” ujarnya.
Beliau berterima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Kerajaan Gabunggan Parti Sarawak (GPS) yang telah merealisasikan impian penduduk di kesemua rumah panjang di situ.
“Saya yakin, impak pembinaan jalan dan jambatan ini nanti amat besar kepada pembangunan kawasan hulu khususnya,” tambahnya.
Rebtap merakamkan ucapan terima kasih kepada penduduk kerana telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pelaksanaan jambatan itu sehingga ia berjaya siap dibina.
Sehubungan itu, beliau mahu rakyat terus mensyukuri pelaksanaan projek berkenaan dengan memberi sokongan tanpa berbelah bahagi kepada kerajaan sedia ada.
“Projek pembinaan jambatan ini adalah bukti Kerajaan Sarawak terus membela nasib rakyat di negeri ini, bukan setakat projek ini sahaja malah banyak lagi projek-projek besar yang telah dan akan memberikan kelegaan dan manfaat kepada masyarakat di negeri ini amnya,” tegasnya.
Oleh ADI SAFARMAN