PETRA JAYA: Aktiviti luar sekolah di Sarawak masih ditangguhkan walaupun keadaan jerebu menunjukkan trend semakin pulih, kata Pengarah Pendidikan, Omar Mahli.
Beliau berkata, berdasarkan garis panduan Kementerian Pendidikan (KPM), aktiviti luar tidak dibenarkan sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencapai tahap tidak sihat, iaitu 101 dan ke atas.
“Kalau tidak sihat, aktiviti luar tidak dibenarkan. Lebih-lebih lagi kalau 200 ke atas, sangat tidak sihat dan aktiviti memang ditangguhkan.
“Buat masa ini, walaupun bacaan sudah menurun, keadaan masih dianggap tidak sihat. Jadi, kita tidak benarkan aktiviti luar dilaksanakan,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Peringkat Negeri Sarawak Bilangan 1 Tahun 2026 di Dewan Undangan Negeri, hari ini.
Menurutnya, hanya tiga hari persekolahan berbaki sebelum murid memasuki cuti selama seminggu, yang secara tidak langsung dapat mengurangkan aktiviti murid di luar.
Sementara itu, beliau berkata, keputusan berkaitan pelaksanaan aktiviti luar turut diserahkan kepada budi bicara pengetua dan guru besar berdasarkan keadaan setempat.
“Kuasa telah diturunkan kepada pengetua dan guru besar untuk membuat keputusan. Kalau keadaan di luar masih berasap atau berjerebu, tangguhkan dahulu dan jalankan aktiviti lain di dalam sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas keadaan jerebu di Sarawak yang kini menunjukkan perkembangan positif dengan kebanyakan kawasan mencatatkan bacaan IPU yang lebih rendah.
Bagaimanapun, aspek keselamatan dan kesihatan murid kekal menjadi keutamaan dalam menentukan sama ada aktiviti luar boleh dijalankan.
Oleh Afiq Sallehi





