DALAM politik, ada ketika angka lebih jujur daripada retorik. Bagi kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, angka yang semakin penting menjelang fasa akhir penggal ini bukan sekadar 112, iaitu angka majoriti mudah untuk terus memerintah, tetapi angka 148.
Angka ini adalah ambang dua pertiga bagi pindaan Perlembagaan Persekutuan. Di situlah agenda reformasi institusi Kerajaan MADANI kini memasuki ujian paling sukar, bukan lagi sama ada reformasi itu mahu dilakukan, tetapi sama ada kerajaan mampu memperoleh undi yang mencukupi tanpa mengorbankan roh reformasi tersebut.
Pengasingan kuasa
Pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya bukan reformasi kecil. Ia menyentuh satu persoalan yang lama mengganggu sistem keadilan Malaysia, iaitu bagaimana pegawai yang bertindak sebagai penasihat undang-undang kepada kerajaan pada masa sama boleh memegang kuasa pendakwaan yang mungkin melibatkan anggota kerajaan itu sendiri?
Secara prinsip, pemisahan dua fungsi tersebut bertujuan mengurangkan konflik kepentingan, memperkukuh kebebasan pendakwaan dan mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap prinsip kedaulatan undang-undang.
Namun reformasi yang kelihatan baik di atas kertas tetap perlu melepasi realiti Dewan Rakyat. Pada 2 Mac 2026, kerajaan menerima amaran yang jelas. Pindaan Perlembagaan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun hanya memperoleh 146 undi, kurang dua daripada 148 yang diperlukan.
Sebanyak 32 Ahli Parlimen tidak hadir dan 44 tidak mengundi. Keputusan itu bukan sekadar kekalahan teknikal sebuah rang undang-undang. Ia membuktikan bahawa kerajaan mungkin mempunyai majoriti untuk memerintah, tetapi belum mempunyai ‘majoriti reformasi’ yang boleh dianggap tersedia secara automatik setiap kali Perlembagaan mahu dipinda.
Politik gabungan
Politik pasca-PRU15 dibina atas gabungan parti yang mempunyai sejarah, kepentingan, budaya politik dan sasaran pilihan raya yang berbeza.
Sokongan kepada Anwar sebagai Perdana Menteri tidak semestinya bermaksud semua anggota gabungan akan menyokong setiap butiran agenda reformasi. Pada undian biasa, beberapa ketidakhadiran mungkin tidak membawa akibat besar.
Pada pindaan Perlembagaan, seorang atau dua Ahli Parlimen sahaja boleh membezakan antara reformasi yang tercatat dalam sejarah dengan rang undang-undang yang tersadai.

Keadaan menjadi lebih sensitif selepas kekosongan kerusi Pandan dan Setiawangsa susulan peletakan jawatan Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai Ahli Parlimen, diikuti peletakan jawatan Wong Chen sebagai Ahli Parlimen Subang pada Ogos.
Perkembangan ini tidak dengan sendirinya bermaksud pindaan AG–Pendakwa Raya akan gagal, tetapi ia mengecilkan ruang politik kerajaan dan mengingatkan Putrajaya bahawa disiplin dalaman tidak boleh diandaikan.
Dalam politik majoriti dua pertiga, setiap kerusi bukan lagi sekadar statistik. Setiap kerusi menjadi kuasa tawar-menawar.
Peranan Barisan Nasional
Di sinilah kedudukan Barisan Nasional menjadi semakin penting. BN bukan sekadar rakan kerajaan dalam isu ini. Portfolio undang-undang dan reformasi institusi dipimpin Datuk Seri Azalina Othman Said daripada UMNO, dan proses penambahbaikan RUU pula telah melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.
Antara cadangan penting ialah menyingkirkan peranan Perdana Menteri dan Kabinet dalam pelantikan Pendakwa Raya serta memperkukuh peranan Parlimen dalam meneliti calon sebelum proses pelantikan disempurnakan.
Oleh itu, terlalu simplistik untuk meramalkan bahawa BN akan menggagalkan reformasi ini. Persoalan sebenarnya bukan sama ada BN menyokong atau menolak. Persoalannya ialah berapa besar pengaruh yang kini dimiliki BN untuk menentukan bentuk akhir reformasi.
Perkembangan menjelang PRN Melaka memberikan gambaran mengenai perubahan keseimbangan tersebut. Ahmad Zahid Hamidi pada 23 Ogos menyatakan BN masih membuat kajian terperinci mengenai kemungkinan bekerjasama dengan mana-mana gabungan, manakala pada 25 Ogos Anwar menyerahkan kepada Amirudin Shari tugas memperincikan kemungkinan kerjasama PH–BN.
Ini menunjukkan hubungan PH–BN tidak lagi boleh dibaca sebagai hubungan satu hala. BN mempunyai beberapa pilihan politik, dan apabila sesebuah parti mempunyai pilihan, nilai tawar-menawarnya meningkat.
Pengaruh politik
Kuasa tawar menawar atau pengaruh politik (leverage) tidak semestinya digunakan secara dramatik dengan mengundi menentang pindaan. Dalam kerajaan gabungan, kuasa sering digunakan secara lebih halus melalui rundingan mengenai kandungan undang-undang, mekanisme pelantikan, tempoh jawatan, struktur pertanggungjawaban, undang-undang susulan dan tarikh pelaksanaan.
BN boleh menyokong prinsip pemisahan AG–Pendakwa Raya tetapi masih berunding keras mengenai seni bina institusi yang lahir daripadanya.
Di sinilah masyarakat awam perlu berhati-hati. Ukuran reformasi tidak boleh berhenti pada pertanyaan mengenai kelulusan pindaan akan tetapi yang lebih penting ialah bentuk atau jenis apa yang akhirnya diluluskan.
Majlis Peguam sendiri menyokong pemisahan kedua-dua pejabat secara prinsip, namun menegaskan perlunya mekanisme pelantikan yang benar-benar bebas, jaminan tempoh jawatan, akauntabiliti dan perlindungan daripada campur tangan eksekutif.
Amaran ini penting. Malaysia boleh secara teknikal mewujudkan dua pejabat yang berasingan tetapi masih gagal menghasilkan sebuah institusi pendakwaan yang bebas secara substantif.
Ancaman terbesar
Bahaya terbesar apabila pilihan raya semakin menghampiri ialah reformasi berubah menjadi perlumbaan menandakan kotak prestasi. Kerajaan tentu mahu memasuki PRU16 dengan rekod bahawa janji besar reformasi institusi telah ditunaikan.
Selepas bertahun-tahun berhadapan kritikan mengenai kelajuan reformasi, tekanan untuk menunjukkan prestasi|akan semakin kuat. Dalam situasi demikian muncul godaan politik iaitu lebih baik memperoleh reformasi yang tidak sempurna daripada gagal memperoleh apa-apa.
Logik itu mungkin munasabah dalam dasar biasa. Ia berbahaya apabila melibatkan Perlembagaan. Perlembagaan bukan manifesto yang mudah dibetulkan selepas satu pilihan raya.
Jika institusi Pendakwa Raya baharu dibentuk dengan kelemahan dalam mekanisme pelantikan, autonomi kewangan, keselamatan tempoh jawatan atau pengawasan Parlimen, kelemahan tersebut boleh bertahan jauh lebih lama daripada kerajaan yang menggubalnya.
Lebih membimbangkan, reformasi separuh masak sering lebih sukar diperbaiki kerana pemerintah selepas itu boleh berhujah bahawa isu tersebut sudah pun ‘diselesaikan’.
Kerajaan kini menjangkakan pindaan AG–Pendakwa Raya bergerak semula pada sesi Parlimen Oktober 2026 selepas cadangan berkaitan dibawa kepada Majlis Raja-Raja.
Penangguhan bacaan kedua pada Julai sebenarnya bukan sesuatu yang negatif jika ruang tersebut digunakan untuk memperkemas undang-undang, mendengar kritikan dan membina persetujuan politik yang lebih luas
Orbit pilihanraya
Pada Oktober, Malaysia akan semakin memasuki orbit pilihan raya PRN Melaka, rundingan kerusi, penyusunan calon dan persediaan PRU16. Semakin hampir pilihan raya, semakin tinggi harga politik setiap undi.
Ahli Parlimen tidak lagi membaca pindaan hanya melalui lensa tadbir urus, mereka akan menilainya melalui kedudukan parti, hubungan gabungan dan masa depan politik masing-masing.
Dalam keadaan ini, pembangkang juga tidak boleh sekadar berdiri di tepi dan menunggu kerajaan gagal. Jika pengasingan AG–Pendakwa Raya benar-benar merupakan reformasi yang menguntungkan sistem demokrasi Malaysia merentasi siapa pun yang memerintah, PN dan parti pembangkang mempunyai tanggungjawab untuk menilai RUU berdasarkan merit.
Kerajaan pula tidak boleh menggunakan alasan ‘pembangkang tidak menyokong’ untuk menutup kegagalan membina konsensus. Majoriti dua pertiga memang sengaja diwujudkan supaya pindaan Perlembagaan memerlukan lebih daripada kehendak satu blok politik.
Anwar mempunyai dua pilihan. Pertama, mengurus angka untuk memastikan seluruh blok kerajaan hadir dan memperoleh cukup sokongan untuk melepasi 148. Strategi ini mungkin menghasilkan kemenangan undi, tetapi reformasi akan terus kelihatan sebagai projek kerajaan.
Pilihan kedua lebih sukar tetapi lebih besar nilainya agar menjadikan pengasingan AG–Pendakwa Raya sebagai reformasi nasional, bukannya reformasi PH atau Kerajaan MADANI.
Kerajaan perlu mencari persetujuan merentas parti secara substantif, bukan sekadar ‘memburu dua undi’ pada malam sebelum pengundian. Malah, Azalina pernah menyatakan bahawa respons awal daripada kepimpinan pembangkang terhadap usaha pengasingan ini adalah positif.
Paradoks reformasi?
Di sinilah terletak paradoks reformasi Anwar. Untuk mengurangkan pengaruh politik terhadap sistem pendakwaan, beliau terlebih dahulu perlu menguasai politik dengan cukup baik untuk membina majoriti dua pertiga.
Namun angka 148 tidak boleh menjadi matlamat akhir. Jika kerajaan memperoleh 148 undi dengan terlalu banyak kompromi sehingga mekanisme baharu masih membuka ruang campur tangan politik, kerajaan menang dalam aritmetik tetapi kalah dalam reformasi.
Sebaliknya, jika Anwar dapat membina sokongan merentas parti terhadap Pendakwa Raya yang benar-benar bebas, telus dan bertanggungjawab dalam kerangka semak dan imbang, itulah legasi institusi yang boleh hidup lebih lama daripada pentadbirannya sendiri.
Jam politik sedang berdetik. Tetapi reformasi institusi tidak boleh menjadi mangsa jam tersebut. Malaysia tidak memerlukan pemisahan Peguam Negara dan Pendakwa Raya hanya pada papan tanda dua pejabat. Negara memerlukan pemisahan kuasa yang tulen.
Maka, akhirnya, 148 hanyalah angka. Persoalan yang akan menentukan legasi reformasi Anwar ialah apakah prinsip yang sanggup dipertahankannya dan apakah yang tidak seharusnya dikompromikan untuk mencapai kehendak tersebut!
- Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah ahli akademik di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau kini ialah Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara dan Felo Kanan Akademi Kenegaraan Malaysia.





