MIRI: Seorang lelaki maut manakala tiga wanita cedera selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh sebatang pokok di Jalan Bintulu-Miri berhampiran Taman Awam awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 3.00 pagi itu, mangsa lelaki, berusia 24 tahun yang juga pemandu kenderaan, dilaporkan tersepit di dalam kenderaan berkenaan.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.00 pagi sebelum sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri diketuai PBKI Abdul Rahman Rosliee bergegas ke lokasi.

“Pasukan bomba tiba di lokasi pada 3.05 pagi dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang merempuh sebatang pokok.
“Terdapat empat mangsa di dalam kenderaan berkenaan. Tiga mangsa wanita berjaya dikeluarkan, manakala seorang lelaki yang merupakan pemandu masih tersepit.
“Pasukan bomba menjalankan kerja-kerja menyelamat menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit,” menurut PGO Sarawak dalam kenyataan.
Mangsa lelaki kemudian disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi sebelum mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, katanya, tiga mangsa wanita yang mengalami kecederaan diberikan rawatan awal oleh pasukan KKM di lokasi.
Seorang daripada mereka dilaporkan mengalami kecederaan parah, manakala dua lagi mengalami kecederaan ringan.
Operasi dikawal pada 3.20 pagi dan ditamatkan sepenuhnya pada 3.53 pagi selepas kerja menyelamat selesai serta lokasi kejadian dipastikan selamat.
Oleh Liong Chai Ling





