Jambatan Datuk Amar Juma’ani raih tiga pengiktirafan Malaysia Book of Records

Facebook
WhatsApp
JAMBATAN Datuk Amar Juma’ani raih tiga pengiktirafan Malaysia Book of Records.

KUCHING: Jambatan Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang menerima tiga pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi pencapaian kejuruteraan yang menjadi kebanggaan Sarawak.

Menurut kenyataan Jabatan Kerja Raya (JKR), jambatan berkenaan diiktiraf sebagai Jambatan Kabel Tiga Kaki Pertama di Malaysia, Jambatan Kabel Tiga Kaki Terpanjang di Malaysia dan Jambatan Kabel Tiga Kaki Tertinggi di Malaysia.

Sijil rasmi pengiktirafan berkenaan diserahkan pada Majlis Penghargaan JKR Sarawak, semalam, yang disaksikan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Pengiktirafan berkenaan mengukuhkan lagi kedudukan jambatan itu sebagai antara mercu tanda kejuruteraan tersendiri di Sarawak, selain mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam menyediakan infrastruktur inovatif, berfungsi dan berkualiti tinggi.

SIJIL rasmi pengiktirafan Malaysia Book of Records diserahkan pada Majlis Penghargaan JKR Sarawak, disaksikan Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Untuk rekod, jambatan berkenaan dirasmikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pada 5 Ogos 2025.

Semasa majlis perasmian itu, Premier Sarawak bersetuju menamakan jambatan berkenaan sebagai Jambatan Datuk Amar Juma’ani bagi mengenang jasa Allahyarham Datuk Amar Juma’ani serta sumbangannya kepada masyarakat, khususnya di kawasan Satok.

Jambatan berkenaan menampilkan reka bentuk tiang tiga kaki yang unik, selain susunan kabel dan bentuk seni bina tersendiri yang menjadikannya bukan sekadar kemudahan pengangkutan, malah mercu tanda moden yang mencorakkan identiti serta latar langit bandar raya Kuching.

Dari aspek perhubungan, jambatan itu menyediakan laluan alternatif antara kawasan sekitar Jalan Datuk Ajibah Abol dan Jalan Haji Mataim, sekali gus membantu melancarkan pergerakan pengguna jalan raya.

Kemudahan berkenaan turut dilengkapi laluan pejalan kaki, landskap dan pencahayaan hiasan pada waktu malam yang menyerlahkan ciri seni bina serta persekitaran bandar di sekitarnya.

Pengiktirafan tiga rekod berkenaan membuktikan pembangunan infrastruktur mampu menggabungkan kecemerlangan kejuruteraan, inovasi, fungsi, nilai estetika dan manfaat kepada masyarakat.

Tiga rekod, satu mercu tanda ikonik dan satu pencapaian membanggakan buat Sarawak.