Dulu kecewa gagal jadi atlet, kini Jazzryne pengadil Bola Sepak Wanita Sukma Selangor 2026

Facebook
WhatsApp
SUKMA Selangor 2026 menemukan Jazzryne dengan impian lamanya, tetapi bukan sebagai pemain. Sebaliknya, dia berdiri di atas padang sebagai pengadil. Foto Jazzryne Asmeira

SELANGOR: Ada impian yang tidak kesampaian seperti yang dirancang, namun, ada kalanya impian yang tertangguh bukanlah berakhir, sebaliknya Tuhan mengubah jalannya kepada sesuatu yang lebih besar dan penuh makna.

Begitulah kisah anak jati Serian, Jazzryne Asmeira Valentine, 25, yang mencipta satu pencapaian membanggakan apabila menjadi satu-satunya pengadil wanita dari Sarawak yang diberi kepercayaan bertugas pada Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026.

Lebih membanggakan, kepercayaan itu membawanya ke pentas paling penting apabila Jazzryne dipilih untuk mengadili Perlawanan Akhir Bola Sepak Wanita antara tuan rumah Selangor dan Sabah.

Namun, di sebalik kejayaan tersebut tersimpan kisah yang jauh lebih inspiratif. Sebelum bergelar pengadil, Jazzryne pernah menyimpan impian untuk menjadi atlet dan mewakili Sarawak di pentas Sukma.

Jazzryne mengakui bahawa Sukma pernah menjadi impiannya sebagai seorang atlet. Seperti kebanyakan anak muda yang berkecimpung dalam sukan, dia juga pernah membayangkan dirinya turun beraksi membawa nama negeri di temasya sukan terbesar negara itu.

Namun, impian tersebut tidak kesampaian.

“Rupanya, impian yang tertangguh itu bukanlah dibatalkan. Tuhan cuma menukar peranannya,” katanya, menggambarkan bagaimana perjalanan hidupnya akhirnya membawa beliau kembali ke pentas Sukma dalam kapasiti yang sama sekali berbeza.

Sukma Selangor 2026 menemukan Jazzryne dengan impian lamanya, tetapi bukan sebagai pemain. Sebaliknya, dia berdiri di atas padang sebagai pengadil, memikul tanggungjawab memastikan perjalanan sesuatu perlawanan berlangsung dengan adil dan mengikut peraturan.

JAZZRYNE dipilih untuk mengadili Perlawanan Akhir Bola Sepak Wanita antara tuan rumah Selangor dan Sabah. Foto: Jazzryne Asmeira

Apa yang lebih mengagumkan, perjalanan itu bukan sekadar membawanya ke Sukma, malah sehingga ke perlawanan akhir. 

Kepercayaan yang diberikan kepadanya menjadi bukti bahawa usaha, kesungguhan dan persediaan akhirnya mampu membuka pintu yang mungkin tidak pernah disangka.

Bagi Jazzryne, pencapaian itu menjadi peringatan bahawa kegagalan mencapai sesuatu pada waktu yang diinginkan tidak semestinya bermakna impian tersebut telah berakhir.

Sebaliknya, mungkin ada masa yang lebih tepat sedang menunggu.

Trust god’s timing. Some blessings need preparation,” katanya, membawa satu mesej yang cukup kuat bahawa setiap kejayaan mempunyai waktunya sendiri dan setiap perjalanan memerlukan persediaan.

Di sebalik kejayaan itu juga terselit penghargaan buat kedua-dua ibu bapanya, keluarga, sahabat serta rakan seperjuangan yang sentiasa memberikan sokongan, doa dan kepercayaan sepanjang perjalanan tersebut.

“Diberikan kepercayaan dan tanggungjawab untuk bertugas sebagai seorang pengadil sehingga ke perlawanan akhir Sukma Selangor 2026 adalah sesuatu yang langsung tidak pernah saya sangka,” katanya.

Kisah Jazzryne membuktikan bahawa dunia sukan tidak hanya menyediakan ruang untuk mereka yang berada di dalam padang sebagai atlet. 

SUKMA Selangor 2026 akhirnya menjadi kenyataan buat Jazzryne, cuma dalam bentuk yang berbeza. Foto: Jazzryne Asmeira

Ada juga insan yang memainkan peranan penting di belakang kejayaan sesuatu perlawanan, termasuk pengadil yang memastikan keadilan dan disiplin sentiasa dijunjung.

Lebih daripada sekadar pencapaian peribadi, kemunculan Jazzryne sebagai satu-satunya pengadil wanita dari Sarawak di Sukma Selangor 2026 membawa simbol bahawa wanita Sarawak juga mampu berdiri teguh dalam bidang pengadilan bola sepak yang menuntut ketegasan, keberanian, kecergasan dan pengetahuan mendalam tentang permainan.

Daripada seorang gadis yang pernah kecewa kerana tidak dapat memenuhi impian sebagai atlet Sukma, Jazzryne akhirnya kembali ke temasya itu dengan membawa peranan yang tidak pernah dibayangkannya sebelum ini.

Dia mungkin tidak turun ke padang untuk menjaringkan gol atau memenangi pingat sebagai atlet.

Namun, dia tetap berada di tengah-tengah pentas yang pernah diimpikannya, kali ini sebagai insan yang memastikan permainan berlangsung dengan adil.

Sukma Selangor 2026 akhirnya menjadi kenyataan buat Jazzryne, cuma dalam bentuk yang berbeza.

Dan mungkin, itulah bahagian paling indah dalam kisahnya apabila impian yang disangka telah hilang sebenarnya hanya sedang menunggu waktu yang tepat untuk kembali.

Trust His timing. Always,” tambahnya.

Oleh Adi Safarman