SARATOK: Seorang lelaki cedera di bahagian kepala selepas terlibat dalam kemalangan kendiri di Lebuh Raya Pan Borneo berhampiran Simpang Saratok, petang tadi.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 4.10 petang memaklumkan kejadian berkenaan.
Menurutnya, empat anggota APM Saratok digerakkan ke lokasi pada 4.13 petang dan tiba lapan minit kemudian bagi memberikan bantuan kepada mangsa.
“Setibanya di lokasi, mangsa telah dikeluarkan dari kenderaan dan menerima rawatan awal daripada pihak bomba sebelum diserahkan kepada APM untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, mangsa yang berusia 31 tahun itu mengalami kecederaan di bahagian kepala namun berada dalam keadaan sedar ketika pasukan penyelamat tiba.

Katanya, anggota APM turut memasangkan pendakap leher kepada mangsa sebagai langkah keselamatan sebelum mangsa dibawa ke Hospital Saratok.
“Mangsa kemudian dihantar menggunakan ambulans APM pada 4.32 petang dan tiba di Hospital Saratok kira-kira sembilan minit kemudian untuk mendapatkan rawatan selanjutnya,” katanya.
Operasi bantuan berkenaan melibatkan empat anggota APM dengan sebuah ambulans serta satu beg perubatan, manakala jarak perjalanan sehala dari pangkalan ke lokasi kejadian adalah kira-kira lapan kilometer.
Pasukan APM selesai menjalankan tugasan di hospital pada 4.43 petang, manakala punca sebenar kemalangan masih tidak diperincikan dalam laporan tersebut.
Oleh Adi Safarman





