KUCHING: Kejayaan meraih tiga pingat emas dan empat gangsa pada Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 perlu dijadikan pembakar semangat bagi Pasukan Berbasikal Sarawak untuk terus memperkukuh prestasi, kata Senator Dato Ahmad Ibrahim.
Beliau berkata, pencapaian itu wajar menjadi satu detik penting buat seluruh pasukan selepas atlet Sarawak beraksi dalam empat disiplin, iaitu basikal lasak, lebuh raya, BMX dan trek.
“Saya amat bangga dengan seluruh pasukan. Kejayaan ini bukan sahaja hasil daripada prestasi para atlet ketika berlumba, tetapi turut didorong oleh latihan, disiplin, pengorbanan dan kerjasama seluruh pasukan yang bersama-sama mengharumkan nama Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua atlet, barisan jurulatih, penolong jurulatih, pengurus pasukan serta seluruh kru sokongan yang memainkan peranan dalam kejayaan berkenaan.

Katanya, pencapaian tujuh pingat itu perlu menjadi pemangkin kepada pasukan untuk terus berlatih, memperbaiki kelemahan dan memperkukuh prestasi bagi menghadapi cabaran akan datang.
“Perjalanan kita tidak berhenti di sini. Kita mesti terus berlatih, memperbaiki kelemahan dan menjadi lebih kuat bagi menghadapi Sukma akan datang di Kelantan serta kejohanan-kejohanan seterusnya,” ujarnya.
Beliau berharap seluruh anggota pasukan terus menjadikan kejayaan di Selangor sebagai motivasi untuk mencapai keputusan yang lebih baik pada masa akan datang.





