MIRI: Bunyi bising ekzos dan aksi samseng jalanan di sekitar bandar raya ini mengundang padah apabila 14 motosikal disita, manakala 61 saman dikeluarkan dalam Op Samseng Jalanan awal pagi tadi.
Operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri itu berlangsung dari 11.00 malam hingga 4.00 pagi, dengan tumpuan di beberapa lokasi termasuk Bandar Raya Miri, Jalan Miri Bypass, Jalan Marina Utama, Jalan Piasau, Jalan Tudan dan Jalan Grand Old Lady.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, seramai 35 individu terdiri daripada 32 lelaki dan tiga wanita diperiksa dalam operasi berkenaan, selain 31 motosikal diperiksa.

“Sebanyak 14 motosikal disita mengikut Seksyen 60(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala 61 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik yang dikesan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook Polis Daerah Miri hari ini.
Katanya, antara kesalahan yang dikesan termasuk menunggang tanpa lesen memandu, mengubah suai struktur motosikal dan ekzos sehingga menghasilkan bunyi bising, tidak mempunyai cermin sisi dan nombor pendaftaran, serta menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi.
Menurut beliau, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terbabit dalam kegiatan samseng jalanan kerana perbuatan itu bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang jalan raya dan tidak mengubah suai kenderaan sehingga menyalahi spesifikasi yang ditetapkan.
Sebarang maklumat berkaitan kegiatan samseng jalanan boleh disalurkan kepada IPD Miri atau balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.
Oleh Liong Chai Ling





