KUCHING: Teknologi nano-satelit berpotensi membantu Sarawak memantau bencana seperti kebakaran hutan dan banjir dengan mengumpul data mengenai keadaan di permukaan bumi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, satelit berkenaan akan bergerak di orbit rendah dan dilengkapi kamera serta sistem komunikasi untuk menghantar data ke bumi.
“Data yang dikumpul boleh disimpan dan dianalisis bagi membantu menentukan tindakan yang perlu diambil berkaitan pengurusan bencana.
“Data itu kita boleh simpan, kita dapat dan kita boleh kaji apa yang kita hendak lakukan dengan data itu, termasuk sumber kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir pada Majlis Perasmian AI untuk Pencipta: Pesta Pencipta Borneo 2026 di Perkampungan Digital Tegas, hari ini.

Tambah beliau, penggunaan teknologi itu juga membolehkan Sarawak memperoleh data sendiri tanpa bergantung sepenuhnya kepada data daripada pihak luar.
Bagi merealisasikan usaha itu, katanya, Sarawak bekerjasama dengan Agensi Angkasa dan Kolej Universiti i-CATS untuk menjalankan penyelidikan berkaitan teknologi nano-satelit.
“Dua makmal akan dibangunkan bagi tujuan berkenaan dan kerja pembangunan makmal dijangka bermula tahun depan.
“Sarawak menyasarkan untuk melancarkan nano-satelit sendiri menjelang 2030,” jelasnya.
Dalam pada itu, Abang Johari berkata, pembangunan nano-satelit berkenaan turut memanfaatkan kepakaran dalam bidang aeroangkasa yang dimiliki i-CATS, termasuk penglibatan profesor emeritus dalam penyelidikan berkaitan.
“Pembangunan teknologi itu memerlukan tenaga pakar dan saintis tempatan, justeru Sarawak perlu terus memperkukuh modal insan dalam bidang sains dan teknologi.
“Tenaga pakar kita mesti bersedia. Sebab itu saya beri pendidikan percuma kerana kita mahu miak yang pandai, tetapi tidak dapat pergi universiti kerana kekangan kewangan, mendapat peluang untuk belajar,” ujarnya.
Untuk rekod, pada Mei 2026, Abang Johari sudah menyatakan nanosatelit pertama Sarawak disasar dilancarkan menjelang 2030 menggunakan teknologi CubeSat.
Satelit orbit rendah itu dirancang bagi mendapatkan imej bumi, data geolokasi dan maklumat strategik untuk menyokong pelbagai keperluan termasuk pemantauan perhutanan, pengawasan maritim, pengurusan bencana serta pemerhatian bumi.
Oleh Masrin Affirah





