BINTANGOR: Tiga pasukan Bomba Komuniti baharu ditubuhkan bagi memperkukuh kesiapsiagaan penduduk menghadapi kecemasan dan kebakaran sebelum bantuan pasukan penyelamat tiba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, penubuhan pasukan tersebut dilaksanakan menerusi Program Kesedaran Awam ‘My Home Hero’ anjuran BBP Bintangor dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sarikei pada semalam.
Katanya, program yang berlangsung dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang itu diadakan di Rumah Caroline Insat Minggu, Bukit Tinggi, Nanga Stras, Meradong dengan penglibatan keseluruhan 30 peserta.
“Menerusi program ini, tiga pasukan Bomba Komuniti ditubuhkan, iaitu dua pasukan di Rumah Caroline Insat dan satu pasukan lagi dari Rumah Sawing.
“Kesemua 30 peserta mengikuti latihan berdasarkan modul yang ditetapkan untuk pasukan Bomba Komuniti melalui dua kaedah, iaitu secara teori dan praktikal,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mahmudin berkata, latihan tersebut dikendalikan jurulatih peringkat balai yang dilantik bagi memberikan pengetahuan dan kemahiran asas kepada peserta dalam menghadapi situasi kecemasan di kawasan komuniti masing-masing.

“Penubuhan Bomba Komuniti penting dalam meningkatkan tahap kesedaran dan kesiapsiagaan masyarakat, khususnya di kawasan rumah panjang, selain membolehkan tindakan awal diambil sekiranya berlaku kecemasan
“Melalui latihan yang diberikan, kita mahu anggota Bomba Komuniti mempunyai pengetahuan asas dan lebih bersedia untuk bertindak apabila berlaku sesuatu kecemasan sementara menunggu ketibaan pasukan bomba,” katanya.
Program tersebut turut diisi dengan ceramah oleh KPDN Cawangan Sarikei, manakala Jualan Rahmah diadakan di pekarangan rumah panjang bagi memberi kemudahan kepada penduduk setempat mendapatkan barangan yang ditawarkan.

“Kerjasama antara agensi dan komuniti menerusi program seumpama ini turut membantu memperluas pendidikan keselamatan kebakaran di peringkat akar umbi serta menggalakkan masyarakat memainkan peranan dalam menjaga keselamatan persekitaran masing-masing.
“Majlis penangguhan program dirasmikan oleh wakil KPDN Cawangan Sarikei, Norhakim Ismail,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek



