BANDAR SERI BEGAWAN: Isu sempadan Malaysia dan Brunei yang telah tertangguh sekian lama merupakan antara perkara dibincangkan pada Rundingan Pemimpin Tahunan ke-27 (ALC-27) antara kedua-dua negara hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata setakat ini, kedua-dua negara telah menyelesaikan kira-kira 50 peratus penandaan sempadan.
“Wakil kedua-dua negara akan mengadakan pertemuan supaya isu (sempadan darat dan maritim) ini dapat kita selesaikan. Dalam usaha kita membuat penandaan sempadan ini, hak milik Brunei dan Malaysia itu tidak akan kita korbankan.
“Kita perlu jaga kepentingan masing-masing supaya usaha penandaan sempadan ini memberi manfaat kepada kedua-dua negara,” kata beliau pada sidang media penutup bersempena dengan lawatan kerja selama dua hari ke Brunei hari ini.
Anwar berkata ALC-27 antara Malaysia dan Brunei menjadi platform terbaik menyelesaikan isu tertangguh serta memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara.
Selain itu, Perdana Menteri berkata Malaysia dan Brunei secara prinsip bersetuju untuk memudahkan akses pergerakan rakyat kedua-dua negara.
“Isu imigresen juga harus diperbaiki kerana ada kesukaran untuk memasuki negara masing-masing kerana peraturan yang lama.
“Kita minta jawatankuasa teknikal dalam rundingan ini di peringkat Persekutuan dengan kerjasama Sarawak dan Sabah supaya mempercepat proses ini. Kita faham proses imigresen ini lama dan perlu melibatkan beberapa pusat pemeriksaan imigresen sebelum sampai ke destinasi,” katanya.
Terdahulu, Anwar dan delegasi Malaysia tiba di Istana Nurul Iman kira-kira 11.00 pagi bagi menghadiri ALC-27, dengan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah turut hadir.
Perdana Menteri dan Sultan Hassanal Bolkiah juga menyaksikan majlis memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama pengurusan bencana antara Malaysia dan Brunei.
MoU tersebut memperkukuh kerjasama dalam pengurusan bencana, termasuk meningkatkan kesiapsiagaan serta keupayaan bertindak balas terhadap sebarang kemungkinan.
Hadir sama Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani.- Bernama





