LUNDU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak memperkukuh advokasi kepenggunaan menerusi Program Jelajah dan Jangkauan Pengguna Kenyalang sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 di Tebingan Lundu, hari ini.
Program berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Persekutuan Sarawak, Pejabat Daerah Lundu dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu bagi mendekati masyarakat, khususnya komuniti luar bandar.
Setiausaha Persekutuan Sarawak, Dato Ahmad Nadzri Mohd Hassan, berkata program itu memberi peluang kepada KPDN menyampaikan maklumat secara terus kepada masyarakat berkaitan hak pengguna, amalan pembelian beretika, isu penipuan perdagangan, kawalan harga serta fungsi dan peranan kementerian.

Antara pengisian utama program ialah advokasi berkaitan penguatkuasaan dan latihan ujian ketepatan sukatan terhadap pam dispenser di stesen minyak Petronas dan Shell Lundu menggunakan tangki piawai berkapasiti 10 liter.
Ujian berkenaan bertujuan memastikan setiap pam dispenser menyalurkan kuantiti bahan api yang tepat berdasarkan sukatan liter yang dipamerkan kepada pengguna.
Program berkenaan turut diserikan dengan Jualan Rahmah MADANI bertemakan HKHM 2026 yang menawarkan pelbagai barangan keperluan asas dengan potongan harga sehingga 30 peratus.
Menurut Ahmad Nadzri, inisiatif itu membuktikan keprihatinan KPDN dalam memastikan masyarakat luar bandar memperoleh barangan keperluan asas pada harga yang berpatutan.

Selain itu, Program Jelajah dan Jangkauan Pengguna Kenyalang turut merangkumi khidmat komuniti menerusi aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan sekitar Pantai Pandan, Kampung Siar dengan kerjasama Pejabat Daerah Lundu.
Beliau berkata, sambutan Bulan Kemerdekaan bukan sahaja menyemarakkan semangat patriotisme dan kecintaan terhadap negara, malah menjadi wadah untuk memperkukuh perpaduan, kebersamaan serta rasa tanggungjawab dalam kalangan masyarakat.
Oleh Afiq Sallehi





