293 hak milik tanah NCR Ulu Sarikei dikeluarkan, pengukuran diteruskan

Facebook
WhatsApp
DATUK Len Talif Salleh bergambar bersama Penguasa JTS Bahagian Sarikei, Sr. Awan Amal dan para penerima.

SARIKEI: Pengukuran individu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di Ulu Sarikei yang bermula pada 2023 mula membuahkan hasil apabila 293 Surat Hak Milik Tanah berjaya dikeluarkan kepada pemilik tanah di kawasan tersebut.

Penguasa Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Sarikei, Sr. Awan Amal berkata, pencapaian itu merupakan perkembangan penting dalam pelaksanaan peringkat kedua inisiatif baharu pengukuran tanah NCR, khususnya bagi memberikan kepastian pemilikan kepada masyarakat.

“Keluasan keseluruhan bagi kawasan Ulu Sarikei melibatkan lebih kurang 24,277 hektar. 

PENGUASA JTS Bahagian Sarikei, Sr. Awan Amal berucap pada majlis penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak kepada penerima dari Ulu Sarikei (Sare – Sentebu) semalam.

“Pengukuran secara individu yang bermula pada 2023 telah membuahkan hasil apabila buat pertama kali kawasan Ulu Sarikei, sejumlah 293 keping Surat Hak Milik Tanah telah berjaya dikeluarkan kepada pemilik-pemilik tanah kawasan Ulu Sarikei, khususnya kawasan Sare – Sentebu yang melibatkan kawasan tanah 1,064 hektar.

“Ini baharu permulaan, kita akan meneruskan penyukatan tanah NCR tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan Surat Hak Milik Tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak kepada penerima dari Ulu Sarikei (Sare – Sentebu) semalam.

Katanya, bagi peringkat pertama program inisiatif baharu NCR, Bahagian Sarikei secara keseluruhannya mempunyai 35 kawasan merangkumi keluasan 186,500 hektar.

Khusus bagi Daerah Sarikei, katanya, tiga kawasan dengan keluasan keseluruhan 25,130 hektar telah diwartakan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak.

ANTARA yang hadir di majlis penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak kepada penerima dari Ulu Sarikei (Sare – Sentebu) semalam.

“Daripada tiga kawasan tersebut, satu kawasan tersebut sedang menjalani peringkat kedua inisiatif baharu NCR iaitu penyukatan secara individu, dimana satu kawasan telah siap disukat sepenuhnya, manakala baki satu kawasan dalam proses di lapangan dijalankan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Awan berkata, sebanyak 137 Surat Hak Milik Tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak diserahkan pada majlis tersebut, melibatkan kawasan seluas 441 hektar.

Hak milik itu diberikan kepada 103 penerima dari Ulu Sarikei (Sare – Sentebu), sekali gus memberikan kepastian terhadap pemilikan tanah yang telah diwarisi dan diusahakan sejak sekian lama.

Awan berkata, Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 mempunyai makna besar kepada penerima kerana menjadi pengiktirafan serta perlindungan terhadap hak pemilikan tanah mereka.

“Surat Hak Milik Tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak merupakan satu tanda pengiktirafan, jaminan dan perlindungan terhadap hak milik tanah rakyat, khususnya tanah yang telah diwarisi, diusaha dan didiami sejak sekian lama.

“Kepada semua penerima, saya ucapkan tahniah. Surat Hak Milik Tanah yang diterima pada hari ini hendaklah dilihat sebagai satu amanah yang amat bernilai.

“Ia bukan sekadar sehelai dokumen, tetapi merupakan bukti pemilikan yang memberi kepastian terhadap tanah pemilik sebenar serta menjadi asas kepada perancangan dan ekonomi keluarga pada masa hadapan,” katanya lagi.

Oleh Earl Anek