Nelayan Mexico diselamatkan selepas 5 hari hanyut dalam kotak penyimpanan sejuk

Facebook
WhatsApp
DUA nelayan Mexico diselamatkan selepas lima hari hanyut di Lautan Pasifik dalam sebuah kotak penyimpanan sejuk, kira-kira 240 kilometer dari pantai Chiapas.

MEXICO CITY: Dua nelayan yang mengalami nahas bot di Mexico diselamatkan selepas lima hari hanyut di Lautan Pasifik dalam sebuah kotak penyimpanan sejuk, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa) memetik Tentera Laut Mexico pada Khamis.

Tentera laut menerusi hantaran di X memaklumkan kedua-dua lelaki itu ditemukan dalam operasi mencari dan menyelamat kira-kira 240 kilometer dari pantai negeri Chiapas di selatan Mexico.

Sebuah koperasi nelayan memaklumkan pihak berkuasa selepas terputus hubungan dengan dua nelayan berusia 53 dan 32 tahun itu. Mereka keluar menangkap ikan dengan sebuah bot nelayan bernama Camaronera, yang bermaksud “bot udang”, sebelum gagal dikesan.

“Ombak melanda bot itu,” kata Jose Luis Portelas, nelayan yang lebih muda, dalam rakaman video selepas mereka diselamatkan.

Beliau berkata kejadian berlaku pada tengah malam, kira-kira 3.00 pagi (0900 GMT), dan semuanya berlaku dalam tempoh kurang lima minit. Selepas bot karam, mereka tidak sempat membawa apa-apa termasuk air minuman, makanan dan radio.

“Satu-satunya yang dapat kami lakukan ialah mengosongkan kotak penyimpanan sejuk itu dan masuk ke dalamnya,” katanya.

“Saya fikir saya tidak akan dapat berjumpa keluarga saya lagi,” kata Daniel Guerrero, seorang lagi nelayan.

Beliau berkata keadaan ketika itu amat sukar kerana mereka tidak mempunyai peralatan untuk menangkap ikan mahupun bekalan air.

“Hujan tidak turun. Matahari hampir membunuh kami.”

Kapal dan pesawat tentera laut terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat itu. Kedua-dua nelayan berkenaan dikesan berada di dalam kotak penyimpanan sejuk berwarna biru sebelum diselamatkan dan menjalani pemeriksaan kesihatan.

Mereka kemudian diterbangkan dengan helikopter ke Pelabuhan Puerto Chiapas, menurut tentera laut. Rakaman video menunjukkan kedua-duanya disambut ahli keluarga dalam suasana penuh emosi. – Bernama-dpa