KUCHING: Keadaan jerebu di Sarawak semakin membimbangkan apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Serian meningkat kepada 223 setakat 8.00 malam ini berbanding 202 pada 4.00 petang tadi.
Berdasarkan data Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB), peningkatan 21 mata itu meletakkan Serian dalam kategori sangat tidak sihat, sekali gus kekal sebagai satu-satunya kawasan di Sarawak pada tahap berkenaan.
Perubahan ketara turut dilihat di Bintulu apabila bacaan IPU meningkat daripada 98 pada 4 petang kepada 114 pada 8.00 malam, menyebabkan kawasan itu beralih daripada tahap sederhana kepada tidak sihat.
Lubok Antu pula meningkat daripada 195 kepada 197, manakala Lundu naik daripada 183 kepada 185.
Sri Aman turut merekodkan peningkatan daripada 178 kepada 182, Sarikei daripada 157 kepada 163, Sibu daripada 146 kepada 154, Samarahan daripada 180 kepada 181 dan Tebedu daripada 175 kepada 177.
Sementara itu, bacaan di Kuching menunjukkan sedikit penurunan daripada 194 kepada 193, manakala Miri turun daripada 91 kepada 88 dan ILP Miri daripada 88 kepada 87.
Kawasan lain yang mencatatkan tahap sederhana ialah Samalaju (97), Mukah (88), Lawas (88), Kapit (84), Limbang (67) dan Bario (50).
Mengikut klasifikasi IPU, bacaan 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, manakala 201 hingga 300 sangat tidak sihat. Bacaan melebihi 300 pula berada pada tahap berbahaya.
Bacaan IPU dikira berdasarkan purata 24 jam daripada parameter pencemar udara yang paling dominan.
Oleh Shikin Mahmud





