KUCHING: Keadaan jerebu di Sarawak terus membimbangkan apabila IPD Serian merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 202, sekali gus berada dalam kategori sangat tidak sihat setakat 4.00 petang ini.
Berdasarkan bacaan IPU bagi Sarawak, sembilan lagi kawasan mencatatkan kualiti udara tidak sihat dengan Lubok Antu hampir mencecah paras sangat tidak sihat apabila merekodkan bacaan 195.
Kuching pula mencatatkan IPU 194, diikuti Lundu (183), Samarahan (180), Sri Aman (178), Tebedu (175), Sarikei (157) dan Sibu (146)
Sementara itu, sembilan kawasan lain masih berada dalam kategori sederhana iaitu Bintulu dengan bacaan 98, Samalaju (93), Miri (91), ILP Miri (88), Mukah dan Lawas masing-masing 85, Kapit (76), Limbang (67) serta Bario (58).
Mengikut kategori IPU, bacaan antara 0 hingga 50 diklasifikasikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat manakala bacaan melebihi 300 dikategorikan sebagai berbahaya.
Bacaan IPU dikira berdasarkan purata 24 jam daripada parameter pencemar udara yang paling dominan.




