Dialog komuniti dekatkan agensi kerajaan dengan penduduk

Facebook
WhatsApp
TUNJUK POSTER… Dato Ir Lo Khere Chiang bersama Jordan Hu, Kaunselor Gerald Goh dan Alvin Chong menunjukkan poster Penglibatan dan Dialog Komuniti di Program Dialog Bersama Komuniti Universiti Terbuka Malaysia (OUM) 2026 di Pusat Khidmat SUPP Cawangan Batu Kitang, hari ini.

KUCHING: Penduduk dan pengusaha perniagaan di Taman Greenwood, Taman Emas, Taman Paradise dan RH Industrial Units berpeluang mengemukakan masalah secara terus kepada agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan menerusi sesi Penglibatan dan Dialog Komuniti, Sabtu ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato’ Ir Lo Khere Chiang berkata, sesi bertemakan ‘Lebih Dekat dengan Rakyat,  Menyelesaikan Masalah Rakyat’ itu akan menjadi platform bagi penduduk, pengusaha perniagaan dan agensi berkaitan membincangkan isu setempat serta mencari penyelesaian yang praktikal.

POSTER Penglibatan dan Dialog Komuniti

Sesi berkenaan akan diadakan pada 10.00 pagi di Universiti Terbuka Malaysia (OUM), Cawangan Kuching, dengan penyertaan wakil daripada Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sarawak Water dan Jabatan Pengairan dan Saliran.

Antara isu yang dijangka dibincangkan termasuk masalah saliran dan banjir, kerosakan jalan serta penyelenggaraan infrastruktur, keselamatan awam, gangguan bekalan air, kebersihan persekitaran, pengurusan sisa serta cadangan pembangunan setempat.

Lo berkata, penglibatan komuniti tidak seharusnya hanya berkisar mengenai menerima aduan, sebaliknya perlu melibatkan semua pihak berkaitan bagi memahami masalah di lapangan dan mencari penyelesaian yang boleh dilaksanakan.

“Penglibatan komuniti bukan sekadar mendengar aduan. Ia adalah usaha membawa pihak yang betul ke meja yang sama, memahami isu dari peringkat akar umbi dan mencari penyelesaian yang boleh dilaksanakan bersama,” katanya pada Program Dialog Bersama Komuniti Universiti Terbuka Malaysia (OUM) 2026 di Pusat Khidmat SUPP Cawangan Batu Kitang, di sini, hari ini.

Beliau berkata, komunikasi berterusan antara komuniti, pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan penting bagi mewujudkan kawasan kejiranan yang lebih selamat, bersih dan selesa untuk didiami.

Penduduk dan pengusaha perniagaan di kawasan berkenaan digalakkan menghadiri sesi dialog itu bagi berkongsi pandangan, cadangan dan kebimbangan mereka.

Sesi tersebut dianjurkan di bawah kepimpinan Lo dengan Kaunselor Gerald Goh menyelaras penglibatan berkenaan.

Oleh Connie Chieng