KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memohon maaf kepada delegasi dan pelancong yang berkunjung ke bandar raya ini berikutan kesan kerja-kerja pembinaan sistem pengangkutan awam yang sedang rancak dijalankan di bandar raya ini.
Beliau berkata, kerja pembinaan berkenaan dilaksanakan khusus bagi meningkatkan kemudahan dan keselesaan pelancong serta pengunjung yang datang ke bandar raya ini, menerusi pembangunan sistem Transit Aliran Automasi (ART) berkuasa hidrogen.
“Saya mesti memohon maaf kepada para delegasi yang datang ke Kuching kerana terdapat banyak kerja pembinaan yang sedang dijalankan sekarang.
“Khususnya untuk kemudahan pelancong dan pengunjung kita, kita sedang membina pengangkutan awam ART dan ia akan dikuasakan oleh hidrogen, tenaga paling bersih di dunia.
“Kita antara yang pertama di rantau ini menggunakan hidrogen sebagai sebahagian daripada sumber tenaga untuk menggerakkan ART, pengangkutan awam kita sendiri,” katanya ketika berucap pada PATA Travel Mart 2026 yang turut dihadiri pelbagai delegasi antarabangsa di sebah hotel di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, pembangunan ART itu merupakan sebahagian daripada usaha Sarawak menyediakan sistem pengangkutan awam moden yang lebih mesra alam, selaras dengan pendekatan negeri yang memberi penekanan terhadap tenaga bersih dan pembangunan mampan.

Beliau berkata, kesan pembinaan yang dilihat di beberapa kawasan Kuching ketika ini merupakan sebahagian daripada proses untuk menyediakan kemudahan pengangkutan yang lebih baik kepada penduduk dan pelancong pada masa akan datang.
Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) Fasa 1 yang merangkumi tiga laluan ART, iaitu Laluan Biru, Merah dan Hijau, mencatat kemajuan fizikal 38.2 peratus setakat 30 April 2026, berbanding sasaran asal 44.8 peratus.
Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin sebelum ini berkata, operasi perintis KUTS dijadual bermula pada suku keempat tahun ini, membabitkan laluan dari Depoh Rembus di Samarahan ke Northbank, Stutong.
Fasa perintis itu akan membolehkan orang ramai merasai sendiri pengalaman menggunakan sistem ART sebelum operasi komersial penuh dijangka bermula pada 2027.
Keseluruhan Projek KUTS pula dijangka siap sepenuhnya menjelang suku ketiga 2030.
ART berkuasa hidrogen itu menjadi komponen utama KUTS Fasa 1 yang melibatkan kira-kira 50.6 kilometer jajaran dan 24 stesen atau hentian.
Abang Johari berkata, pembangunan tersebut bukan sahaja bertujuan memperkemas sistem pengangkutan awam Kuching, malah memperkukuh imej Sarawak sebagai destinasi pelancongan yang mengutamakan kelestarian alam dan penggunaan tenaga bersih.
“Ini adalah dasar ekonomi kerajaan dan kita mahu memastikan kemudahan yang kita bina bukan sahaja memberi keselesaan kepada pelancong, tetapi juga selari dengan usaha kita menggunakan tenaga yang lebih bersih,” jelasnya.
Oleh Afiq Sallehi





