KUCHING: Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (SRB) digesa mempercepatkan kerja pengorekan bagi mengeluarkan mendapan di sekitar Jeti Perikanan Sungai Apong.
Menurut Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin, arahan itu dibuat bagi meningkatkan akses sungai kepada bot nelayan, sekali gus memudahkan aktiviti bot berlabuh di kawasan jeti berkenaan.
Dato Sri Lee hari ini bersama pegawai Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) dan SRB melakukan tinjauan ke jeti berkenaan bagi menilai keadaan sebenar di lokasi.
Beliau turut mendengar secara langsung aduan wakil Persatuan Kotak Tangkap Ikan Sungai Apong berhubung kesukaran yang dihadapi komuniti nelayan, selain permintaan untuk menambah baik keadaan alur sungai dan akses ke jeti.
Menurut kenyataan MOTS, persatuan berkenaan sebelum ini mengemukakan permohonan rasmi kepada SRB pada 5 Ogos lalu bagi menjalankan kerja mendalamkan alur sungai serta membersihkan pokok di sekitar jeti.

Susulan tinjauan itu, Dato Sri Lee mengarahkan SRB supaya mempercepatkan kerja pengorekan bagi mengeluarkan mendapan. Beliau turut meminta bangkai kapal sedia ada dialihkan bagi menambah baik akses sungai serta memudahkan bot nelayan berlabuh.
Beliau berkata, kemudahan infrastruktur yang disediakan untuk komuniti nelayan perlu mengambil kira keperluan operasi pengguna kerana akses yang baik ke jeti serta kedalaman air yang mencukupi memberi kesan langsung kepada aktiviti harian dan mata pencarian nelayan.
“Kita datang hari ini untuk melihat sendiri keadaan di sini dan mendengar secara langsung daripada nelayan mengenai masalah yang mereka hadapi.
“Setelah melihat keadaan di lokasi, saya telah meminta SRB mengambil tindakan yang diperlukan secepat mungkin,” katanya.
Turut hadir Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng; tetamu kehormat lain; wakil Persatuan Kotak Tangkap Ikan Sungai Apong serta pegawai MOTS dan SRB.
Oleh Masrin Affirah




