Kelestarian perlu jadi strategi daya saing industri sawit Sarawak

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Stephen Rundi Utom menyampaikan ucapan pada Majlis Pembukaan Forum Minyak Sawit Lestari SOPPOA (SPOF) 2026, hari ini.

BINTULU: Industri sawit Sarawak perlu menjadikan kelestarian sebagai sebahagian daripada strategi perniagaan bagi meningkatkan daya saing, menarik pelaburan serta mewujudkan nilai yang lebih tinggi kepada ekonomi dan masyarakat.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, berkata kelestarian tidak lagi boleh dilihat sekadar sebagai kos tambahan atau keperluan pematuhan, sebaliknya perlu dimanfaatkan sebagai kelebihan kompetitif industri.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pada Majlis Pembukaan Forum Minyak Sawit Lestari SOPPOA (SPOF) 2026 di Hotel Imperial Bintulu, hari ini.

Menurutnya, pasaran antarabangsa kini semakin menuntut ketelusan, kebolehkesanan serta pematuhan terhadap keperluan berkaitan penebangan hutan, pelepasan karbon, biodiversiti dan sumber yang bertanggungjawab.

“Industri mesti bergerak daripada pemikiran ‘bagaimana kita mematuhi’ kepada ‘bagaimana kita menggunakan kelestarian untuk menjadi lebih kompetitif’,” katanya.

Beliau berkata industri sawit kekal sebagai tonggak penting ekonomi Sarawak, khususnya dalam pembangunan luar bandar dan sebagai sumber pendapatan masyarakat.

RASMI…Simbolik pemukulan gong oleh Dato Sri Stephen Rundi Utom menandakan pembukaan rasmi Forum Minyak Sawit Lestari SOPPOA (SPOF) 2026 yang berlangsung selama dua hari, bermula hari ini hingga esok, di Hotel Imperial Bintulu, hari ini.

Berdasarkan statistik terkini Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Sarawak mempunyai kira-kira 1.66 juta hektar kawasan tanaman kelapa sawit pada 2025, mewakili sekitar 29 peratus daripada keseluruhan kawasan tanaman sawit Malaysia. Pengeluaran minyak sawit mentah negeri pula mencapai kira-kira 4.50 juta tan, meningkat 7.8 peratus berbanding 2024.

Katanya, pertumbuhan industri bagaimanapun perlu disertai tanggungjawab bagi memastikan pembangunan dilaksanakan secara mampan dan terus memberi manfaat kepada rakyat.

Beliau turut menegaskan keperluan meningkatkan produktiviti melalui penggunaan teknologi, mekanisasi dan automasi, selain mengurangkan pembaziran serta pelepasan karbon.

Menurutnya, biomassa dan hasil sampingan industri sawit juga perlu dimanfaatkan sebagai sumber tenaga, biofuel dan produk bernilai tinggi bagi mewujudkan peluang ekonomi baharu.

Dalam masa yang sama, beliau menggesa lebih ramai golongan muda dilibatkan dalam industri sawit dengan memperkenalkan teknologi moden seperti kecerdasan buatan, digitalisasi, bioteknologi dan pengurusan karbon.

Beliau berkata penyelidikan dan inovasi juga perlu diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal bagi membantu meningkatkan hasil, mengurangkan kos serta memperkukuh kecekapan industri.

RAKAM kenangan bersama Dato Sri Stephen Rundi Utom pada Majlis Pembukaan Forum Minyak Sawit Lestari SOPPOA (SPOF) 2026 yang berlangsung selama dua hari, bermula hari ini hingga esok, di Hotel Imperial Bintulu.

Mengulas cabaran industri, beliau berkata perubahan cuaca, kos operasi, ketidaktentuan pasaran dan perkembangan geopolitik memerlukan industri sawit menjadi lebih berdaya tahan melalui penyediaan infrastruktur, penggunaan teknologi dan pembangunan modal insan yang lebih baik.

Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antara kerajaan, industri, institusi penyelidikan dan institusi kewangan bagi memastikan pembangunan sektor sawit dapat dilaksanakan secara mampan.

Mengulas SPOF 2026, beliau berkata forum itu penting sebagai platform yang menghimpunkan pelbagai pihak dalam ekosistem industri sawit untuk bertukar idea, membentuk kerjasama dan menghasilkan penyelesaian praktikal.

“Yang paling penting, kita mesti bersedia untuk berubah, bersedia untuk berinovasi dan bersedia untuk bekerjasama,” katanya.

Beliau yakin perbincangan pada SPOF 2026 mampu menghasilkan idea, kerjasama dan penyelesaian praktikal yang boleh diterjemahkan kepada tindakan di peringkat ladang, kilang, perniagaan, institusi penyelidikan serta komuniti.

Oleh Faizah Muzidi