Ular sawa batik 0.6 meter ‘menumpang’ bawah tempat duduk motosikal

Facebook
WhatsApp
PENEMUAN seekor ular sawa batik sepanjang kira-kira 0.6 meter di bawah tempat duduk sebuah motosikal di Petronas Saratok berjaya ditangkap APM. Foto APM Saratok

SARATOK, 7 Oktober: Penemuan seekor ular sawa batik sepanjang kira-kira 0.6 meter di bawah tempat duduk sebuah motosikal mencetuskan tindakan pantas Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Saratok di Petronas Saratok, semalam.

Pegawai APM Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 8.46 malam yang memaklumkan mengenai kelibat seekor ular di bawah tempat duduk motosikal.

Menurutnya, susulan panggilan itu, tiga anggota Skuad Alpha APM Saratok segera digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira tiga kilometer dari pangkalan.

“Pasukan bergerak pada 8.48 malam dan tiba di lokasi pada 8.51 malam sebelum mendapati seekor ular sawa batik berada di bawah tempat duduk motosikal.

“Ketua skuad kemudian memastikan semua anggota memakai kelengkapan perlindungan diri sebelum operasi menangkap ular dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi itu membabitkan tiga anggota APM Saratok, iaitu Prebet Jeffery Kedit Kayan, Prebet Izzuddin Hakim Ahmad Sufian dan Prebet Avellynn Nagi Abit.

Katanya, anggota menggunakan beberapa peralatan khas termasuk penyepit ular, penjerut, kotak khas untuk ular, sarung tangan keselamatan dan lampu suluh bagi memastikan operasi berjalan dengan selamat.

“Anggota berjaya menangkap ular sawa batik berkenaan menggunakan teknik menyepit sebelum operasi di lokasi diselesaikan pada 8.57 malam.

“Keseluruhan operasi berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.

Penemuan itu turut menjadi peringatan kepada orang awam supaya sentiasa berhati-hati sekiranya mengesan kelibat reptilia, khususnya di kawasan terlindung seperti di bawah tempat duduk kenderaan, serta mendapatkan bantuan pihak berkuasa bagi mengelakkan risiko kecederaan.

Oleh Adi Safarman