DI Mas Gading, kawasan ini lebih mudah dikenali melalui nama kampung, bukit, simpang jalan, gereja, tanah adat, hubungan kekeluargaan dan ingatan tentang siapa yang datang membantu ketika masyarakat memerlukan.
Sebab itu, saya boleh katakan secara metafora bahawa sempadan politik sebenarnya tidak kelihatan di atas tanah. Orang tidak berjalan sambil membawa peta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di tangan. Tetapi apabila sebatang garis ditarik di atas peta, segala-galanya boleh berubah!
Sebuah kampung boleh mendapat wakil rakyat yang baharu. Seorang penyandang boleh kehilangan kawasan yang selama ini menjadi kubunya. Jaringan keluarga yang sebelumnya berada dalam sebuah kawasan pilihan raya mungkin dipisahkan. Tokoh politik pula terpaksa mengira semula siapa sebenarnya pengundinya.
Garis perubahan
Sebab itu cadangan meletakkan Serayan, Jagoi, Singai dan Serembu di bawah Parlimen Mas Gading tidak harus dibaca sekadar sebagai langkah kanan teknikal persempadanan.
Secara tepatnya, bukan keempat-empatnya kerusi baharu. Opar dicadangkan dinamakan semula sebagai Serayan, Tasik Biru menjadi Singai, Jagoi ialah kerusi baharu, manakala Serembu, yang kini berada di bawah Parlimen Puncak Borneo, dicadangkan dipindahkan ke Mas Gading.
Cadangan ini timbul dalam konteks peluasan Dewan Undangan Negeri Sarawak daripada 82 kepada 99 kerusi. Setakat ini ia masih cadangan persempadanan, bukannya sempadan akhir yang telah dimuktamadkan.
Dalam bahasa pentadbiran, rasionalnya mudah difahami. SPR memang perlu mempertimbangkan kemudahan pengundian dan pentadbiran, bilangan pemilih, keluasan kawasan terutamanya kawasan luar bandar serta keperluan memelihara hubungan setempat. Prinsip tersebut terkandung dalam Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan.
Sisi antropologi politik
Antropologi politik mengajar kita bahawa wilayah bukan sekadar geografi. Wilayah ialah hubungan manusia. Sempadan menentukan sesiapa mewakili apa-apa.
Ia menentukan kepada siapakah ketua kampung membawa masalah jalan, tanah, air atau sekolah, pihak sesiapa menjadi pengantara antara masyarakat dengan birokrasi; dan pihak mana-mana akhirnya menerima penghargaan atau kemarahan apabila sesuatu projek berjaya ataupun gagal.
Apabila sempadan politik berubah, peta hubungan kuasa turut berubah.
Politik Bidayuh tidak sekadar politik logo. Hal ini lebih penting di Mas Gading kerana politik masyarakat Bidayuh tidak pernah dapat dijelaskan hanya melalui warna parti.

Di bawah lapisan GPS, DAP atau PH terdapat sesuatu yang jauh lebih lama usianya daripada parti politik yang melibatkan kampung, keluarga luas, hubungan kekerabatan, gereja, persatuan, pemimpin masyarakat, jaringan profesional dan reputasi seseorang sebagai manusia yang boleh dipercayai.
Dalam antropologi politik, wakil rakyat di kawasan seperti ini bukan sekadar legislator. Dia juga seorang utusan dan mediasi politik, iaitu jambatan yang menghubungkan masyarakat dengan pusat kuasa dan sumber pembangunan.
Sebab itulah masyarakat biasanya mengingati perkara yang kelihatan kecil kepada orang luar.
Siapa datang ketika keluarga ditimpa kematian? Siapa muncul apabila kampung menghadapi masalah? Siapa memahami isu tanah? Siapa mudah ditemui? Dan siapa hanya muncul apabila bendera parti mula dipasang?
Di sinilah beroperasinya apa yang boleh disebut sebagai moral economy politik tempatan. Keabsahan seseorang pemimpin tidak dibina hanya melalui projek berjuta-juta ringgit. Ia turut dibentuk oleh rasa kehadiran, penghormatan, timbal balik dan kepercayaan.
Kerusi yang lebih kecil menjadikan hubungan itu semakin dekat dan tuntutan terhadap wakil rakyat semakin tinggi.
Jagoi, ruang politik yang masih kosong
Dalam konfigurasi yang dicadangkan, Jagoi mungkin menjadi kerusi paling menarik untuk diperhatikan. Sebagai kerusi baharu, ia belum mempunyai penyandang. Secara simbolik, gelanggangnya masih kosong.
Maka persaingan bukan sahaja boleh berlaku antara GPS dengan pembangkang, tetapi terlebih dahulu mungkin berlaku dalam proses dalaman memilih parti komponen dan calon yang dianggap paling sesuai.
Dalam politik lokal, persoalan akhirnya bukan semata-mata, parti mana? Persoalannya ialah siapa orangnya? Dari mana asalnya? Siapa keluarganya? Sejauh mana dia benar-benar mempunyai akar dalam masyarakat?
Perkara ini ialah sesuatu yang kadangkala tidak tertangkap imaginasi melalui survei pendapat awam.
Seseorang mungkin terkenal di media sosial tetapi tidak mempunyai jaringan kampung. Sebaliknya, seseorang yang kurang dikenali di Kuching mungkin mempunyai modal sosial yang sangat besar di Jagoi.
Dalam pilihan raya lokal, modal sosial seperti itu boleh menjadi lebih berharga daripada modal publisiti.
Serayan dan Singai: Politik sebuah nama
Serayan dan Singai membawa persoalan antropologi yang lebih halus. Nama bukan sesuatu yang neutral. Menamakan sesuatu wilayah sebenarnya satu bentuk pengiktirafan. Nama menyimpan sejarah, memori dan perasaan memiliki.
Maka apabila Opar dicadangkan menjadi Serayan dan Tasik Biru menjadi Singai, perubahan tersebut tidak seharusnya hanya dibaca sebagai menukar papan tanda pilihan raya. Ia juga boleh menghasilkan imaginasi baharu tentang wilayah politik dan identiti setempat.
Dalam antropologi nama mewakili dan memberitahu seseorang bahawa ‘inilah ruang kita’. Kalangan politik masyarakat peribumi, hubungan antara tanah, nama tempat dan identiti mempunyai makna yang jauh lebih mendalam daripada persoalan pentadbiran.
Serembu mengubah keseimbangan
Serembu pula membawa implikasi politik yang lebih langsung. Pemindahannya daripada Puncak Borneo ke Mas Gading membawa masuk sebuah kawasan, penyandang dan jaringan politik yang sebelum ini beroperasi dalam ekologi politik yang berbeza.
Pada masa ini, Opar diwakili Billy Sujang, Tasik Biru oleh Henry Harry Jinep dan Serembu oleh Miro Simuh. Apabila sempadan berubah, penyandang tidak bermula dari kosong, tetapi mereka juga tidak lagi boleh menganggap struktur sokongan lama kekal seperti sebelumnya.
Sebahagian kubu mungkin berpindah. Komuniti baharu mungkin masuk. Jaringan lama perlu dirunding semula. Hakikatnya, dalam ruang politik, sebuah garis sepanjang beberapa sentimeter di atas peta boleh bernilai ribuan undi.
Paradoks Mas Gading
Mas Gading menjadi lebih menarik kerana mempunyai satu paradoks politik. Di peringkat Parlimen, kawasan ini kini diwakili Mordi Bimol daripada PH, sedangkan di peringkat DUN, GPS mempunyai kedudukan yang kukuh.
Suasana ini memberi petunjuk penting bahawa ternyata pengundi Mas Gading mempunyai keupayaan membezakan pilihan raya negeri daripada pilihan raya Persekutuan.
Mereka tidak semestinya memberikan kesetiaan politik secara pukal.
Hari ini seseorang boleh memilih GPS untuk DUN tetapi PH untuk Parlimen. Ini bukan kekeliruan politik.
Sebaliknya, ia boleh mencerminkan kematangan pengiraan politik tempatan mengenai pemilihan dan penilaian calon, juga persoalan dan isu, bijak dalam menentukan wakil kerajaan yang dipilih dan menilai sebaiknya mengenai ahli politik paling berguna sebagai wakil pada sesuatu tingkat pemerintahan.
Persempadanan baharu akan menguji sesuatu yang lebih menarik, iaitu tahap pengaruh Mordi diterjemahkan daripada satu kerusi Parlimen kepada beberapa kerusi DUN? Tidak semestinya. Politik DUN lebih mikro. Populariti Ahli Parlimen tidak boleh dipindahkan seperti wang dari satu akaun ke akaun lain.
Calon DUN mesti mempunyai akar sosialnya sendiri. Di sinilah satu hukum politik lokal menjadi relevan, iaitu orang luar yang terkenal masih boleh kalah kepada orang tempatan yang dipercayai.
GPS kelebihan dan risiko
GPS tentunya mempunyai kelebihan struktur seperti jentera, penyandang, hubungan dengan kerajaan negeri serta jaringan pembangunan. Tetapi kerusi lebih kecil juga membawa risiko.
Apabila kawasan menjadi lebih kompak, ketidakpuasan lokal lebih mudah berubah menjadi blok pengundi. Jika dahulu kemarahan tiga atau empat kampung mungkin tenggelam dalam kawasan yang besar, dalam kerusi lebih kecil, isu yang sama boleh menentukan kemenangan atau kekalahan.
Maka jangan terlalu cepat mengatakan persempadanan semestinya menguntungkan parti tertentu. Hal ini kerana parti boleh memiliki peta politik. Tetapi calon masih perlu memiliki kepercayaan.
Ada pula satu dimensi yang tidak harus tenggelam iaitu legitimasi proses. SPR menyediakan proses pameran awam dan mekanisme representasi serta siasatan tempatan apabila syaratnya dipenuhi. Ini penting kerana ‘hubungan setempat’ tidak semuanya kelihatan daripada meja pemetaan.
Sebuah sungai, jalan lama, gereja, kawasan perkuburan atau hubungan sejarah antara dua kampung mungkin kelihatan kecil pada peta, tetapi mempunyai makna besar dalam kehidupan masyarakat.
Peta rasmi perlu, peta hidup dalam ingatan komuniti.
Politik Bidayuh sedang berubah dan naratif Mas Gading bukan semata-mata cerita tentang persempadanan. Ia merupakan cerita mengenai perubahan politik Bidayuh.
Generasi baharu semakin berpendidikan, bergerak antara kampung, Bau, Kuching dan bandar-bandar lain, hidup dalam dunia media sosial, dan menilai kepimpinan bukan semata-mata melalui kedekatan tradisional tetapi juga prestasi, integriti dan kecekapan.
Politik naungan belum hilang tetapi kini terpaksa berunding dengan politik prestasi. Maka jika dilihat Serayan, Jagoi, Singai dan Serembu pada peta kelak, jangan hanya melihat empat bentuk berwarna.
Lihatlah kampung-kampung di dalamnya. Lihat keluarga, gereja, tanah adat, memori nenek moyang, jalan yang belum selesai, projek yang dijanjikan, calon yang sedang menyusun jaringan dan masyarakat yang sedang menimbang siapakah paling layak diberikan kepercayaan.
Persempadanan memang kerja kartografi. Tetapi dalam politik, kartografi juga ialah kerja kuasa. Garis boleh ditarik oleh pentadbir. Namun makna kepada garis itu akhirnya diberikan oleh masyarakat dan di Mas Gading, peti undilah yang akan menentukan sama ada garis baharu itu sekadar menyusun semula peta atau sebenarnya menyusun semula kuasa!
- Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah ahli akademik di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau kini ialah Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara dan Felo Kanan Akademi Kenegaraan Malaysia.





