Misteri Penjaga Rimba Purba

Facebook
WhatsApp

MALAM melabuhkan tirainya, membalut gelap belantara dengan seribu rahsia. Di celah-celah pokok besar tersembunyi ilmu dan bisikan roh purba. Gabungan dua takdir antara pemburu yang menjejaki erti kelangsungan hidup dan penjaga rimba yang mempertahankan setiap inci tanah hutan keramat ini. Dengarkan derap langkahnya kerana rimba ini bernyawa.

Namun hidup perlu gagah berdepan duri dan ranjau yang sedang memperlahankan rentak seorang pemburu tua bernama Akik, berusia lebih setengah abad yang berusaha mencari rezeki untuk keluarganya.

Meskipun ibarat tempat permainannya sejak kecil semasa mengikuti arwah ayahnya berburu pada satu masa lampau tetapi hutan ini tetap menyimpan seribu rahsia melangkau akal pemikirannya.

Akik melangkah menyusuri denai dan akar kayu menuju ke sebatang anak Sungai. Begitu gelap pekat laluan denai, namun Akik cuba gagahi langkahnya meski kakinya semakin berat.

Jamung yang dipasangnya menerangi kawasan persekitaran hutan yang dilaluinya. Akik singgah berhenti di satu tempat dan terus lelap di bawah akar banir pokok besar dalam hutan itu.

Badannya telah dilumur daun penghalau nyamuk membuatkan tidurnya begitu lena walaupun penghisap darah itu tetap mengepung dengan gigitan menusuk kulit untuk menghisap darahnya.

Pada paginya, Akik tersedar dari lena yang panjang apabila terdengar kokokan ayam hutan bersahut sahutan ibarat satu irama yang menyelit seribu makna.

Mendengar saja kokokan itu, Akik mula melangkah meninggalkan akar banir di bawah pokok tualang sebesar pemeluk. Langkah kakinya pantas, tiada halangan untuknya melalui kawasan itu . Dia tahu selok belok laluan kawasan hutan tersebut.

Tanpa disedari dia terserempak dengan tubuh besar sedang membaham sesuatu. Tubuh itu berbulu lebat. Apa yang dimakannya? getus Akik.

Akik cuba mendekat ke arah makhluk tersebut. Dia perlahan-lahan berjalan sambil bersembunyi di belakang beberapa pokok besar untuk melihat kelibat makhluk tersebut.

Bau hamis yang dibawa angin mula menusuk hidung, membuatkan degupan jantung Akik berdegup kencang. Setelah sampai di sebalik sebatang lagi pokok tualang yang besar, dia menjenguk sedikit ke hadapan dengan penuh berhati-hati.

Tanpa diduga Akik amat terkejut apabila melihat satu makhluk seakan beruang gergasi sedang meratah bangkai seekor rusa. Makhluk itu nampak begitu rakus.

Sedang Akik cuba memerhati dengan lebih dekat, satu kesilapan kecil berlaku apabila tumit kakinya terpijak ranting kering yang mengeluarkan bunyi yang agak kuat.

Serta-merta makhluk itu berhenti mengunyah. Telinganya bergerak-gerak menangkap bunyi tersebut, lalu kepalanya yang besar dan berbulu lebat itu berpaling menoleh sambil anak matanya meliilau tajam kesemua arah.

Situasi itu membuatkan Akik terpaku dan nafasnya terhenti seketika. Jantung Akik berdegup kencang, seirama dengan deruan angin pagi berkabus yang tiba-tiba bertiup kencang. Bau hanyir darah yang pekat mula menusuk hidungnya, mengatasi bau tanah lembap hutan tersebut.

Dia memberanikan diri untuk menjenguk sedikit dari sebalik batang pokok tualang tempatnya berlindung. Makhluk berbulu hitam lebat itu membelakanginya. Bahunya yang sasa dan lebar kelihatan bergerak-gerak mengikut rentak kunyahannya yang rakus.

Di atas tanah, samar-samar kelihatan sekujur tubuh yang menjadi mangsa. Seekor rusa jantan besar yang sudah pun terkulai longlai dengan kesan koyakan parah di bahagian lehernya telah menjadi mangsa ratahan makhluk berbadan sasa dan berbulu lebat itu.

Makhluk itu mengeluarkan bunyi dengusan kasar yang sangat dalam, seolah-olah memberi amaran kepada sesiapa sahaja untuk tidak mendekati dan mengganggu ruangnya.

Hutan yang tadinya sunyi kini terasa semakin mencengkam dan menyeramkan dengan dengusan makhluk itu yang sedang meratah mangsanya.     

Akik terundur selangkah lalu memijak sekali lagi sebatang ranting kering. Bunyi ranting patah bergema agak kecil kali ini, namun cukup untuk menghentikan kunyahan makhluk tersebut serta-merta untuk kali kedua.

Suasana menjadi sepi seketika sebelum kepala makhluk berbulu lebat itu mula berpaling perlahan-lahan ke arah tempat persembunyian Akik. Kepala makhluk itu berpaling dengan gigi taringnya yang berlumuran darah menyeringai ganas.

Sepasang mata merah menyala menembus kabus pagi, tepat memandang ke arah pokok tempat Akik bersembunyi.

Akik terpaku. Peluh dingin mula membasahi dahinya. Makhluk itu bangun berdiri dengan dua kaki dengan ketinggiannya mencecah dua meter, menyamai rupa seekor mawas gergasi tetapi dengan aura yang jauh lebih ganas dan buas.

Mulut makhluk itu dipenuhi darah rusa yang masih segar. Ia menderu perlahan, seakan-akan mengejek ketakutan Akik. Akik tahu dia tidak boleh panik. Hutan ini adalah kawasannya.

Dengan sepantas kilat, Akik membaling seketul batu besar ke arah semak di sebelah kanannya untuk mengalih perhatian sambil mulutnya kumat kamit membaca beberapa potongan ayat al-Quran. Makhluk itu melompat ke arah bunyi tersebut, memberi ruang untuk Akik membuka langkah seribu.

Akik terus berlari meredah hutan yang diselimuti kabus pagi. Dia melompat melintasi akar-akar pokok besar yang sudah dihafalnya sejak kecil.

Namun, bunyi dengusan dan rempuhan pokok di belakangnya menandakan makhluk itu sedang mengejarnya dengan kelajuan yang amat luar biasa.

Bunyi rempuhan pokok semakin rapat di belakang Akik. Dia tahu dia tidak boleh hanya terus berlari lurus. Makhluk itu terlalu laju. Berbekalkan pengetahuannya tentang selok-belok hutan itu, Akik membuat keputusan drastik.

Dia menukarkan arah lariannya secara mengejut, membelok tajam ke laluan curam yang dipenuhi akar tebal. Di hujung laluan itu, terdapat sebuah gua kecil yang terlindung di sebalik air terjun tersembunyi, antara tempat yang hanya diketahui olehnya.

Akik menggelongsor turun, mengabaikan calar-calar di badannya akibat ranting tajam. Dia berjaya menyelinap masuk ke dalam celahan batu gua tersebut, betulbetul beberapa saat sebelum makhluk berbulu lebat itu melompat di kawasan atas gua.

Dari dalam kegelapan gua, Akik menahan nafasnya rapat-rapat. Dia dapat mendengar bunyi tapak kaki berat makhluk itu mundar-mandir di luar, mencari kelibatnya yang hilang secara tiba-tiba.

Selepas beberapa minit yang mendebarkan, suasana kembali sepi. Makhluk itu nampaknya sudah beredar, tetapi Akik tahu dia belum benar-benar selamat.

Semasa Akik bersandar pada dinding gua yang sejuk untuk menenangkan nafasnya, tangannya tersentuh sesuatu yang ganjil. Permukaan batu itu terasa terlalu rata, bukan seperti batuan alam yang biasa.

Dia mengeluarkan mancis dari koceknya lalu menyalakan api kecil dengan sedikit marak. Cahaya samar-samar itu menerangi ruang dalam gua yang gelap. Namun sekali lagi Akik tersentak apabila melihat dinding gua itu dipenuhi dengan ukiran purba

Tiba-tiba, dari arah luar gua, bunyi dengusan kasar kembali kedengaran, tetapi kali ini bunyinya datang dari bahagian atas siling gua, tepat di atas kepala Akik.

Pada saat itu juga, siling gua di atasnya retak. Makhluk berbulu lebat itu terjun ke dalam gua, memecahkan batuan dengan berat badannya yang sasa.

Makhluk itu menderu kuat bersama dengan langkah kakinya yang panjang dan besar pantas bergerak ke arah Akik. Dengan satu hayunan tangan sasa yang dipenuhi kuku tajam, makhluk itu melibas ke arah Akik.

Akik sempat berguling ke kiri, namun serpihan batu gua yang hancur akibat libasan itu terkena pada bahunya.

Gua itu semakin sempit untuk bertarung. Akik tahu dia tidak boleh menang dengan kekuatan fizikal semata-mata. Akik memandang ke arah pintu gua yang mula runtuh akibat amukan makhluk tersebut.

Dia perlu bertindak sekarang sebelum tertimbus dan dimakan hidup-hidup oleh makhluk berbulu lebat itu.

Akik menggunakan sisa tenaga yang ada untuk melompat keluar melalui celahan batu yang runtuh. Dia meloloskan dirinya tepat pada masanya sebelum pintu gua tersebut runtuh sepenuhnya dihempap batu-batu besar sehingga menutup ruang yang ada. Walaupun terselamat, Akik tahu rahsia besar hutan ini baru sahaja bermula.

Asap nipis berkabus seperti berbau kemenyan dilihat menyelubungi kawasan itu semasa berlaku pertarungannya bersama makhluk itu mula menipis, ditiup angin hutan yang dingin.

Keheningan yang mengekori dalam suasana pagi dalam hutan itu terasa ganjil. Tiada bunyi cengkerik. Tiada esakan sang mergastua. Hutan itu seolah-olah sedang menahan nafas, tunduk kepada kuasa yang baru sahaja bangkit daripada keris di tangan Akik.

“Ia sudah memilihmu,” satu suara garau memecah kesunyian.

Akik tersentak. Dia segera berpaling.

Dari balik sebatang pohon beringin gergasi, muncul satu lembaga berbungkus kain hancur. Matanya juga merah menyala, namun tiada niat yang terpancar untuk membunuhnya.

“Siapa kau?” tanya Akik, suaranya cuba dikawal agar tidak gementar.

Lembaga itu tidak menjawab. Sebaliknya, ia menunjuk ke arah gua itu.

Di situ, satu rekahan besar telah terbentuk, mendedahkan sebuah pintu laluan bawah tanah yang dilingkari akar-akar pokok besar. Dari dalam rekahan itu, kedengaran gema paluan gong yang sayup-sayup, seolah-olah ada sebuah istana rahsia yang sedang menanti ketibaannya.

Akik memilih untuk melangkah masuk dan berhadapan dengan lembaga misteri itu. .

“Masuklah, pemburu tua. Takdirmu tidak menunggu lama,” bisik lembaga itu sebelum perlahan-lahan ghaib menjadi debu hitam yang ditiup angin.

Sambil fikirannya terus berkecamuk, tanpa ragu-ragu lagi, Akik melangkah masuk ke dalam rekahan tanah tersebut. Di hujung tangga, ruang bawah tanah gua itu ruparupanya bertukar menjadi sebuah dewan istana lama yang sangat luas.

Di tengahtengah dewan, terapung sebilah keris bercahaya dengan hulunya yang diperbuat daripada gading gajah berukir kepala naga.

Akik melihat keris itu dikelilingi oleh lingkaran api hitam, dan sayup-sayup kedengaran suara hilai tawa makhluk lain yang mula mengepung dewan tersebut.

Hilai tawa makhluk-makhluk dalam dewan lantai gua batu itu semakin bingit, bergema di dinding dewan batu tersebut. Akik tahu, walaupun cahaya keris itu membawa keajaiban dan keberanian, namun untuk mengambil dan menjadikannya sebagai senjata pertarungan secara membabi buta dengan angkatan ghaib yang tidak terkira jumlahnya adalah satu tindakan membunuh diri.

Pada saat kritikal itu, Akik bertindak pantas. Dia tidak mencapai keris itu sebaliknya dia melompat ke hadapan dengan membuat kuangan raga, dengan langkah sepantas kilat yang dipelajarinya daripada arwah ayahnya.

Akik melepasi kepala ketua makhluk itu dan terus menerkam ke arah keria berhulu gading gajah yang terapung itu.

Memandangkan dia tidak boleh menyentuh keris itu dengan tangan kosong kerana api hitam, Akik menanggalkan kain yang mengikat kepalanya lalu menyentap hulu gading keris tersebut dari udara. Akik melemparkan kainnya kea rah hulu gading keris tersebut sehingga jatuh tepat di atas lantai gua.

Bagaikan terlepas dari genggaman magnet yang kuat, keris itu jatuh dengan bunyi dentuman yang menggegarkan seluruh isi gua.

Cahaya keperakan dan keemasan memancar keluar, menyatu lalu menerangi setiap sudut dewan gua batu yang sebelumnya agak malap dan menyeramkan.

Apabila badai cahaya itu reda, Akik berdiri tegak di tengah dewan. Dewan gua batu yang tadinya bising dengan hilai tawa kini bertukar sunyi sepi.

Mereka semua tunduk menyembah Akik, akur kepada keramat pemegang keris itu yang kini sah mewarisi takhta rahsia rimba tersebut.

Akik memandang ke arah ribuan makhluk yang sedang melutut dengan penuh wibawa. Sambil mengangkat tinggi keris yang kini sudah sempurna di tangannya.

Sebaik sahaja dewan gua kembali sunyi, lantai batu di hadapan singgahsana tibatiba bergeser perlahan, mendedahkan sebuah pintu rahsia lain yang bertatahkan batu delima merah.

Akik melangkah masuk ke dalam bilik rahsia tersebut dan menemui sebuah peti kayu cendana milik pewaris awal.

Di dalamnya, selain daripada timbunan kitab lama dan peta wilayah ghaib, terdapat sekeping surat pendek yang ditulis dengan dakwat emas berbunyi: “Buat pemegang keris kuasa ini, jika kau membaca tulisan ini, maknanya kau telah sedia memimpin angkatan rimba. Takdirmu bukan lagi di kampung, tetapi sebagai pelindung dua alam.”

Sambil kawasan hutan pula mula disinari cahaya terang matahari, Akik berdiri di puncak gua itu memandang ke arah rimba luas yang kini di bawah jagaannya, bukan lagi sebagai seorang pemburu tua yang sesat mencari makanan hutan tetapi kini sebagai Panglima Rimba penjaga hutan yang baharu.

Akik melangkah pergi dari kawasan hutan itu, namun tidak lupa tujuan asalnya untuk mendapatkan hasil buruan buat santapan keluarganya. Langkah Akik diatur kemas meninggalkan kawasan hutan tebal itu.

Dia berjaya membawa hasil buruan yang cukup untuk memenuhi keperluan rezeki pada hari itu.

Begitupun fikirannya ligat membayangkan rezeki yang dibawanya dikongsi dengan perasaan gembira bersama isteri dan anaknya sambil bersedia mencerita segala pengalaman luar biasa yang dilaluinya. Isterinya, Siwang, berdiri di bendul pintu dengan wajah yang pucat lesi kerana risau, manakala anak lelaki mereka berdiri tenang.

Akik tersenyum tanpa berkata apa-apa sebaliknya terus membawa isteri dan anaknya masuk ke dalam rumah, lalu menutup rapat pintu dan tetingkap kayu. Di ruang tamu yang hanya diterangi cahaya pelita, Akik melabuhkan sila.

Dia meletakkan peti kayu cendana yang baru ditemuinya dalam gua di atas lantai rumahnya, lalu mencabut keris pusaka dari pinggangnya. Siwang tersentak melihat hulu gading berukir naga dan bilah keris yang memancarkan sisa cahaya keemasan itu.

Akik memulakan ceritanya tanpa ada satu pun yang tersembunyi. Dia menceritakan tentang misteri hutan purba, lembaga Penjaga Sumpah yang ditemuinya, helah yang digunakannya untuk merampas keris tersebut hinggalah saat ribuan makhluk ghaib tunduk menyembah kewibawaannya sebagai Panglima Rimba yang baharu.

Dia juga membacakan surat tinggalan waris pemegang keris itu yang terkandung di dalam peti tersebut.

Siwang mendengar dengan penuh khusyuk, tangannya menekup mulut kerana tidak percaya, manakala Ahuk memandang keris di tangan ayahnya dengan mata yang bersinar-sinar penuh kagum.

Malam itu, teratak kecil mereka diselimuti rasa selamat yang luar biasa, kerana mereka tahu, seluruh kekuatan rimba sakti kini sedang mengawal rumah dan keluarga Panglima Akik.

Oleh Kalam Ismawangsa