KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi memaklumkan Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau tidak pernah ‘melayan’ ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low, seperti Perdana Menteri negara ini.
Bagaimanapun, saksi keempat berusia 56 tahun dalam kes saman 1MDB menuntut ganti rugi AS$5.64 bilion itu berkata beliau pernah berkomunikasi dengan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak, melalui saluran tidak rasmi iaitu Jho Low.
Beliau berkata demikian ketika disoal balas peguam G.K. Ganesan, mewakili bekas Pengarah Pelaburan 1MDB Kelvin Tan Kay Jin, yang juga defendan ketujuh.
Isu itu timbul ketika Ganesan menyoal sama ada Shahrol Azral telah berkomunikasi secara langsung dengan Najib berkaitan pertikaian membabitkan projek medan minyak Serdar antara dua negara yang membabitkan perjanjian usaha sama bernilai RM1 bilion.
Ganesan: Adakah anda berpendapat adalah penting untuk atau memadai bagi Perdana Menteri ketika itu (Najib) mengetahui bahawa dua negara sedang bertelagah mengenai pemilikan Serdar? Shahrol Azral menjawab “Ya”.
Saksi itu juga mengakui bahawa beliau tidak mempunyai pengetahuan sama ada Jho Low telah memaklumkan Najib mengenai pertikaian membabitkan projek minyak Serdar tersebut.
Ganesan: Sebenarnya, anda melayan Jho Low seolah-olah beliau ialah Perdana Menteri Malaysia.
Shahrol Azral: Saya tidak setuju.
1MDB dan anak syarikatnya iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited serta Global Diversified Investment Company Limited (dahulunya dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited) telah memfailkan saman itu pada 7 Mei 2021.
Mereka menamakan Najib, bekas Pengarah Kewangan 1MDB Terrence Geh Choh Heng, bekas Pengarah Eksekutif Casey Tang Keng Chee, bekas penasihat undang-undang Jasmine Loo Ai Swan, Vincent Beng, bekas ketua pegawai kewangan Radhi Mohamad, Kelvin Tan serta bekas ketua pegawai pelaburan Nik Faisal Ariff Kamil sebagai defendan.
Minggu lepas, 1MDB bersetuju menghentikan saman sivil terhadap Radhi tanpa kebebasan untuk memfailkannya semula. Sebelum itu, 1MDB turut menggugurkan nama Jasmine daripada saman itu.
Writ saman itu antara lain mendakwa plaintif telah menuduh defendan melakukan pecah amanah, melanggar kewajipan statutori, menyalahgunakan kuasa dan berkonspirasi untuk menyeleweng dana 1MDB.
Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Redzuan Idrus bersambung esok. – Bernama





