(Bahagian Pertama)
BULAN ini menyaksikan satu peristiwa penting dalam sejarah, iaitu pengesahan Perjanjian Malaysia oleh ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara di Tanah Melayu.
Peristiwa yang berlaku 63 tahun lalu itu mempunyai signifikan yang besar dalam proses pembentukan dan kewujudan Malaysia sebagai sebuah negara.
Kebiasannya kita mengetahui bahawa pembentukan Malaysia mendapat kritikan sebahagian kecil pemimpin di Sarawak dan Sabah tetapi di Tanah Melayu juga rancangan ini tidak sepenuhnya mendapat sokongan daripada parti-parti yang ada.
Namun Perikatan Tanah Melayu yang mendapat sokongan kuat penduduk Tanah Melayu meneruskan rancangan ini kerana ia telah mendapat sokongan kuat daripada pemimpin dan rakyat di Sarawak, Sabah dan Singapura.
Apabila Perjanjian Malaysia ditandatangani pada 9 Julai 1963, ia perlu juga mendapat sokongan Parlimen di Tanah Melayu. Di sini ujian penting Perikatan Tanah Melayu untuk menerangkan dan mendapat sokongan daripada Ahli Parlimennya.
Walaupun usaha untuk mendapat sokongan ini tidak bermasalah kerana Perikatan Tanah Melayu menguasai Parlimen tetapi untuk meyakinkan pembangkang, adalah sesuatu yang sukar kerana pembangkang telah awal-awal melihat rancangan itu mempunyai masalah yang akan timbul.
Bubar
Sebelum perbahasan tentang pengesahan perjanjian Malaysia ini, pihak pembangkang telah mendesak Tunku Abdul Rahman untuk membubarkan Parlimen.
Usul ini dikemukakan oleh beberapa parti pembangkang iaitu National Convention Party, PMIP (Pan-Malaysian Islamic Party), Parti Negara, Socialist Front dan United Democratic Party.

Dalam mengemukakan usul ini, kelima-lima parti menyuarakan sokongan kepada Persidangan Manila dan berikrar untuk menyokong Manila Accord. (Perjanjian Manila).
Dalam hal ini mereka menekan peri pentingnya penentuan kendiri (self-determination) untuk wilayah-wilayah Borneo dan Singapura menerusi pungutan suara dibawah seliaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Hujahan mereka tentang perlu membubarkan Parlimen pula berkait dengan kenyataan mereka bahawa kerajaan pada ketika itu tidak mendapat mandat daripada penduduk Tanah Melayu untuk menubuhkan Malaysia.
Atas alasan ini, mereka menyarankan kepada kerajaan untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya sebelum melakukan perbahasan tentang Malaysia di Parlimen.
Mereka menambah bahawa jika hal ini dipenuhi, maka ia akan membentuk satu perpaduan nasional dalam isu-isu penting yang akan mempengaruhi kehidupan dan ketentuan untuk semua penduduk Tanah Melayu.
Namun demikian, saranan dibuat oleh pihak pembangkang ini dianggap oleh Tunku Abdul Rahman sebagai tidak sihat dan merosakkan rancangan Malaysia. Oleh itu beliau mengecam usul dibawa oleh pihak pembangkang tersebut. Hal ini telah dimaklumkan oleh Tunku Abdul Rahman dalam Dewan Rakyat.
Ucapan Tunku
Dalam ucapan Tunku Abdul Rahman pada 12 Ogos 1963, menyatakan pembentukan Malaysia itu penting untuk kepentingan bersama semua anggota yang menyertainya.
Beliau juga menegaskan bahawa Malaysia bukannya usaha memperluaskan kuasa dan wilayah. Ini kerana Tanah Melayu bukannya penjajah atau neo-kolonialisme.
Menurut Tunku Abdul Rahman, Tanah Melayu menghormati penentuan sendiri bagi wilayah-wilayah yang belum mendapat hak memerintah sendiri.
Tunku Abdul Rahman menyatakan bahawa proses pembentukan Malaysia ini berperingkat-peringat dengan ada jawatankuasa perundingan dibuat sehingga diwujudkan Suruhanjaya Cobbold untuk meninjau sokongan dan cadangan penduduk tempatan di Borneo ketika itu.
Seterusnya pilihan raya diadakan di Sarawak dan Sabah yang mana isu penting dalam pilihan raya ini adalah mengenai penubuhan Malaysia. Kemenangan parti pro Malaysia dalam pilihan raya itu membuktikan bahawa penduduk Sarawak dan Sabah menyokong pembentukan Malaysia.
Malahan beliau menambah bahawa pemimpin pelbagai lapisan dari Sarawak dan Sabah telah meninjau perkembangan Tanah Melayu dan berasa puas hati dengan perkembangan yang berlaku sejak Tanah Melayu merdeka.
Beliau mengulangi semula persetujuan asas Parlimen Tanah Melayu pada 18 Oktober 1961 bahawa pembentukan Malaysia ini terdiri daripada 11 negeri di Tanah Melayu bersama dengan Singapura, Sarawak dan Sabah.
Dalam isu ini, beliau menekankan bahawa tiada paksaan terhadap mana-mana negara untuk menyertai pembentukan Malaysia. Dalam hal ini, beliau memberi contoh Brunei yang mengambil keputusan tidak menyertai gabungan persekutuan tersebut.
Keselamatan
Antara faktor penting dalam pembentukan Malaysia ini menurut Tunku adalah untuk menangani isu keselamatan yang ketika itu amat genting di Asia Tenggara.
Hal ini dikaitkan dengan gerakan komunis yang aktif di Asia Tenggara dan akan mengancam keselamatan penduduk serantau. Beliau menyifatkan komunis ini sebagai satu bentuk penjajahan yang akan merugikan penduduk yang mereka kuasai.
Oleh itu pembentukan Malaysia bukan sahaja dapat menghalang komunis malah menamatkan penjajahan di negara yang dijajah.
Pihak pembangkang juga mengambil serta dalam perbahasan tentang usul pembentukan Malaysia dan mengutarakan beberapa kritikan dan saranan.
Salah seorang daripada mereka adalah Zulkifli Mohamad (Bachok) yang menyatakan bahawa perlunya satu tinjauan rakyat Tanah Melayu untuk menentukan mandat tentang Malaysia. Beliau menegaskan bahawa Kerajaan Perikatan tidak mempunyai mandat dalam pembentukan Malaysia.
Menjawab persoalan ini, salah seorang penyokong kerajaan iaitu Mohamad Said (Seberang Prai) menyatakan bahawa dalam manifesto Perikatan 1959 jelas menyebut bahawa Perikatan berazam hendak membantu perjuangan bagi mana-mana negara yang masih terjajah.
Pembentukan Malaysia menurut beliau adalah membantu memberi kemerdekaan kepada Sarawak, Sabah dan Singapura dari jajahan British.
Mengenai soal mandat, beliau menjelaskan bahawa Tunku Abdul Rahman telah diberikan mandat oleh Parlimen dalam persidangan yang berlangsung pada 16 Oktober 1951. Hal ini dipersetujui pula oleh Perikatan Tanah Melayu.
Beliau menambah bahawa perlembagaan Tanah Melayu boleh menerima mana-mana negara lain untuk bergabung dengan persetujuan Parlimen.
Berbalik kepada usul dikemukakan oleh Ahli Parlimen Bachok tersebut, Speaker Dewan Rakyat Dato Mohamad Noah Omar telah menolak usul tersebut kerana bertentangan dengan usul asal yang dikemukakan oleh Tunku Abdul Rahman. Dengan kata lain ia telah menyalahi peraturan yang ditetapkan oleh Dewan Rakyat.
Perbincangan mengenai pembentukan Malaysia di Parlimen Tanah Melayu merupakan antara isu yang hangat diperdebatkan pada ketika itu.
Dalam wacana minggu hadapan, perbincangan ini akan dilanjutkan dengan meneliti perkembangan dan perbahasan selanjutnya berkaitan pembentukan Malaysia.
- Dr. Suffian Mansor adalah Pensyarah Kanan, Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.





