Awang Tengah: Kerjasama penjawat awam tunjang pembangunan Sarawak

Facebook
WhatsApp
AWANG Tengah ketika menyampaikan ucapan mengenai kepentingan semangat berpasukan, kerjasama dalam perkhidmatan awam serta amalan gaya hidup sihat sebagai pemangkin kejayaan organisasi dan pembangunan Sarawak pada majlis makan malam penutupan LASSCAR 2026

KUCHING: Penganjuran Karnival Sukan LANDAS (LASSCAR) bukan sekadar medan persaingan, sebaliknya platform memperkukuh semangat berpasukan, kebersamaan dan kekeluargaan dalam kalangan warga Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (LANDAS) serta agensi yang terlibat.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, semangat dan keyakinan diri yang ditunjukkan peserta sepanjang pertandingan perlu diterjemahkan dalam pelaksanaan tugas rasmi bagi memastikan organisasi terus mencapai kejayaan.

“Semangat berpasukan yang terbit daripada acara sukan, pertandingan-pertandingan seperti ini, dan inilah yang menjadi daya penolak kepada kejayaan sesuatu organisasi dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam penutupan LASSCAR 2026 atau Malam Gala LASSCAR di Penview Pusat Konvensyen Penview (PCC), Demak, di sini, malam tadi.

Menurutnya, LASSCAR 2026 yang berlangsung selama lapan hari dari 8 hingga 15 Ogos menghimpunkan 1,463 atlet daripada 16 kontinjen, termasuk 13 kontinjen LANDAS serta tiga pasukan jemputan iaitu Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeNR), Lembaga Juruukur Tanah Sarawak (LSB) dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

Katanya, penganjuran acara berkenaan penting bagi membolehkan warga LANDAS dari ibu pejabat dan pelbagai bahagian saling mengenali, terutama berikutan pertukaran pegawai, persaraan dan pengambilan kakitangan baharu yang berlaku dari semasa ke semasa.

“Dengan adanya kita mengadakan acara sedemikian, kita dapat kenal-mengenal di antara satu sama lain dan ini akan dapat meningkatkan semangat berpasukan kita,” katanya.

LANDAS Kuching muncul juara keseluruhan LASSCAR 2026 sambil menjulang Piala Pusingan selepas mengungguli kutipan lima pingat emas dan dua pingat gangsa pada majlis makan malam penutupan LASSCAR 2026.

Jelas Awang Tengah, semangat kebersamaan yang dipamerkan peserta menerusi setiap pertandingan membuktikan kepentingan keyakinan diri dan keazaman untuk mencapai kejayaan.

Beliau turut menekankan kepentingan aktiviti sukan dalam membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan warga kerja, terutama bagi memastikan mereka mempunyai tahap kesihatan yang baik untuk melaksanakan tugas dengan berkesan.

Katanya, penjagaan kesihatan perlu menjadi sebahagian daripada budaya kerja kerana kecergasan fizikal mempunyai kaitan rapat dengan keupayaan seseorang melaksanakan tanggungjawab.

“Tidak ada apa yang dapat kita buat kalau kita sakit. Walau macam mana pandainya pun kita, kalau kita sudah terlentang di katil di hospital,” katanya.

Dalam pada itu, Awang Tengah berkata, LASSCAR turut menyediakan platform penting bagi LANDAS mempersiapkan diri menghadapi tanggungjawab sempena penganjuran Sukan SEA 2027.

Beliau berkata, LANDAS diberikan tanggungjawab mengendalikan beberapa aspek berkaitan penginapan dan pengangkutan, selain menguruskan kontinjen Thailand sebagai sebahagian daripada amanah yang diberikan.

“Ini ialah platform untuk kita melihat bagaimana kita boleh menguruskannya. Sukan yang besar ini melibatkan negara-negara yang begitu banyak,” katanya.

Beliau yakin pengalaman, komitmen dan semangat berpasukan warga LANDAS mampu membantu jabatan melaksanakan amanah tersebut dengan baik.

Pada masa sama, Awang Tengah menyokong cadangan penganjuran Karnival Sukan MUDeNR yang dicetuskan pada majlis berkenaan sebagai platform memperkukuh hubungan antara agensi di bawah kementerian itu.

Katanya, kerjasama antara agensi amat penting bagi memastikan semangat berpasukan dan kebersamaan yang dibentuk menerusi aktiviti sukan dapat diteruskan dalam tugasan harian.

“Saya percaya dengan pengalaman kita orang, dengan komitmen yang begitu tinggi, kita akan dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita. Dan begitu juga dengan jabatan-jabatan lain,” katanya.

Dalam pada itu, LANDAS Kuching muncul juara keseluruhan LASSCAR 2026 selepas mengumpul lima pingat emas dan dua gangsa, manakala LANDAS Ibu Pejabat (HQ) muncul naib juara dengan dua emas, tiga perak dan dua gangsa.

LANDAS Limbang pula menduduki tempat ketiga keseluruhan dengan pungutan dua emas dan dua perak.

Sebanyak 10 acara dipertandingkan sepanjang karnival berkenaan, iaitu bola sepak lelaki, futsal wanita, bola jaring, bola pickle berpasukan, badminton berpasukan, pingpong berpasukan, petanque, karom berpasukan, dart berpasukan dan boling berpasukan.

Awang Tengah turut mengucapkan tahniah kepada semua pemenang serta peserta yang mengambil bahagian, sambil menyeru mereka yang kurang berjaya supaya tidak berputus asa.

“Yang penting ialah keyakinan diri, semangat untuk bekerja, semangat berpasukan yang tinggi untuk mencapai kejayaan. Itu harus ada pada kita,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada LANDAS Bahagian Samarahan yang menerajui penganjuran LASSCAR 2026 dengan kerjasama LANDAS Bahagian Kuching, Serian dan ibu pejabat.

LASSCAR 2028 bakal menyaksikan LANDAS Miri sebagai tuan rumah, dengan harapan penganjuran edisi berkenaan terus memperkukuh semangat kesukanan, kebersamaan dan kerjasama dalam kalangan warga LANDAS serta agensi yang terlibat.

Oleh Afiq Sallehi