ISTANBUL: Ejen kecerdasan buatan (AI) yang mengurus sebuah kedai runcit eksperimen di San Francisco buat kali pertama mengesyorkan seorang pekerja manusia dipecat selepas pekerja itu lewat hadir bagi 17 daripada 23 syif, lapor Anadolu Ajansi.
Pengurus AI yang dinamakan Luna itu pada mulanya gagal mengambil tindakan terhadap rekod kehadiran pekerja berkenaan walaupun telah menggubal sendiri dasar kehadiran beberapa bulan sebelumnya.
Andon Labs kemudian mengarahkan Luna merujuk semula dasar berkenaan dan menilai sama ada pekerja itu masih sesuai untuk terus bekerja. Luna kemudiannya mengesyorkan supaya pekerja itu ditamatkan perkhidmatan.
Kakitangan manusia di Andon Labs meneliti syor berkenaan sebelum melaksanakan pemecatan itu.
Pengasas bersama Andon Labs, Lukas Petersson berkata eksperimen itu menunjukkan pengurus AI tidak semestinya lebih tegas berbanding penyelia manusia, sambil menyatakan bahawa seorang pengurus manusia berkemungkinan telah memecat pekerja berkenaan lebih awal.
Kedai yang dikenali sebagai Andon Market itu dibuka di kawasan Cow Hollow, San Francisco pada April sebagai eksperimen untuk menguji keupayaan ejen AI mengendalikan perniagaan dalam dunia sebenar.
Andon Labs memperuntukkan bajet AS$100,000 kepada Luna, selain kad kredit korporat dan akses Internet, serta menugaskannya mengurus kedai berkenaan dan menjana keuntungan.
Luna memilih barangan jualan, menetapkan harga dan waktu operasi, mengupah kontraktor serta merekrut pekerja.
Ia mengendalikan kedai menerusi e-mel, talian telefon, kamera keselamatan dan akses Internet.
Kedai itu menjual buku, lilin, cetakan seni, permainan dan barangan berjenama.
Menurut Business Insider, kedai berkenaan telah mencatat jualan tetapi masih belum memperoleh keuntungan.
Menurut The Next Web, pekerja di kedai itu secara rasmi diambil bekerja oleh Andon Labs dan bukannya Luna serta menerima gaji yang dijamin dan perlindungan undang-undang.
Andon Labs berkata kakitangan manusia akan campur tangan sekiranya Luna membuat keputusan yang menyalahi undang-undang atau tidak beretika, namun menganggap pemecatan itu selaras dengan arahan yang diberikan kepadanya.
Eksperimen berkenaan turut mendedahkan beberapa kelemahan dalam pengurusan oleh AI.
Luna sebelum ini pernah gagal menjejaki jadual pekerja, menghadapi kesukaran dalam tugasan operasi dan membuat keputusan pembelian yang memerlukan pemantauan manusia.
Kes itu menimbulkan persoalan mengenai sejauh mana ejen AI boleh mengurus pekerja manusia secara bebas dan membuat keputusan yang memberi kesan terhadap pekerjaan mereka. – Bernama





