Skuad catur wanita gegar Wilayah Persekutuan, cipta kejutan 2.5 – 1.5

Facebook
WhatsApp
SEKITAR aksi skuad catur Sarawak ketika berlangsungnya acara catur di Dewan Seri Bernam , di Selangor , hari ini.

SELANGOR: Skuad catur wanita Sarawak mencipta kejutan pada Sukan Malaysia (Sukma) XXI Selangor 2026 apabila menundukkan Wilayah Persekutuan 2½-1½ dalam saingan Standard Berpasukan Wanita di Dewan Seri Bernam, hari ini.

Lebih membanggakan, kemenangan itu hadir selepas pemain papan pertama Sarawak, Megan Ho Xing Ern, menewaskan juara individu wanita Sukma 2024, Aqilah Husna, dalam pertarungan pembukaan antara kedua-dua pasukan.

Kemenangan Megan menjadi antara pencetus penting kejayaan Sarawak apabila skuad negeri itu mengumpul 2.5 mata berbanding 1.5 mata yang diraih Wilayah Persekutuan.

Jurulatih Sarawak, Muhamad Zulfakar berkata, keputusan berkenaan di luar jangkaan memandangkan Wilayah Persekutuan dibarisi pemain yang mempunyai kekuatan tersendiri, terutama selepas Sarawak mengetahui tahap persaingan yang bakal dihadapi dalam kategori wanita.

“Untuk lelaki seperti yang dijangka, tetapi untuk perempuan memang mengejutkan apabila kita dapat menewaskan Wilayah Persekutuan dengan keputusan 2.5 -1.5.

“Papan pertama Sarawak juga berjaya menewaskan juara individu wanita Sukma 2024,” katanya.

Dalam pertemuan berkenaan, Megan menewaskan Aqilah 1-0, manakala satu lagi mata penuh Sarawak disumbangkan Isabella Salsabel, selepas menewaskan Nur Uzma Bazilah 1-0.

Satu lagi perlawanan antara Lim Yijia Claire dan Ung Hui Pin berakhir seri manakala A’Dira A’Ddawiya meraih mata buat Wilayah Persekutuan selepas mengatasi Elaine Chieng Shu Qi 1-0.

Keputusan itu sekali gus memberikan suntikan keyakinan kepada skuad wanita Sarawak yang dibarisi tiga pemain yang membuat penampilan sulung di Sukma kali ini.

Zulfakar sebelum ini berkata saingan kategori wanita dijangka lebih sukar berikutan penyertaan beberapa pemain yang pernah mewakili Malaysia, namun anak buahnya sudah membuat persiapan bagi menghadapi cabaran tersebut.

SKUAD catur wanita Sarawak meraikan kemenangan 2½-1½ ke atas Wilayah Persekutuan dalam saingan Standard Berpasukan Wanita pada Sukma XXI Selangor 2026 di Dewan Seri Bernam, hari ini.

Sementara itu, skuad lelaki Sarawak pula bangkit daripada kekalahan 0-4 kepada Selangor dalam aksi pembukaan untuk menewaskan Pahang 3.5-0.5 dalam saingan Standard Berpasukan Lelaki.

Sarawak mengutip tiga kemenangan menerusi Hui Shieng Shun, Jude Tie King Hieng dan Muhammad Fadhl, manakala pertemuan Fam Yii Fui dengan Syed Luqmanul Ha berakhir seri.

Zulfakar sebelum ini menetapkan sasaran pingat untuk skuad catur Sarawak pada edisi kali ini, selepas pasukan itu gagal menaiki podium dalam tiga kategori yang disertai pada Sukma 2024 apabila sekadar menduduki tempat keempat.

Oleh Shahrul Qaizat