SIBU: Kira-kira 15,000 akaun pengguna berdaftar di Sibu terjejas susulan paip utama berdiameter 1,000 milimeter (mm) pecah di Lorong Kiew Nang 1, di sini, hari ini.
Sarawak Water dalam kenyataannya memaklumkan kejadian itu menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual dan tekanan air rendah di beberapa kawasan di Sibu.
Menurutnya, kejadian berkenaan berlaku berhampiran kawasan kerja kontrak yang sedang dijalankan dan pihaknya kini menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca serta keadaan yang menyebabkan kejadian itu.
“Kawasan yang terjejas termasuk Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce (persimpangan Jalan Salim hingga Lorong 60–66, termasuk Stesen Petronas), Jalan Tunku Abdul Rahman (Lorong Tunku Abdul Rahman 42), Rh. Sebastian, Jalan Rafflesia, Jalan Jade Villa, Taman Primeview, Taman Azalea dan Taman Sanhill.

“Turut terjejas ialah Lapangan Terbang Sibu dan Eco Garden, Sibu Jaya, Jalan Durin Link hingga Jambatan Durin, Jalan Satria, Jalan Bumi Indah, Jalan Ruai, Jalan Bougenvilla, Jalan Kaland, Jalan Pine, Taman Kemuyang, Kem Rascom, Rh. Nari, persimpangan Sibu/Bintulu serta kawasan sekitarnya,” jelasnya.
Sarawak Water berkata, pasukan tindak balas kecemasan dan teknikal telah digerakkan ke lokasi kejadian dan pihaknya bekerjasama rapat dengan kontraktor bagi melaksanakan kerja pembaikan yang diperlukan.
“Berdasarkan penilaian semasa, kerja pembaikan dijangka selesai kira-kira 4.00 pagi esok (14 Ogos), tertakluk kepada keadaan di tapak dan kemajuan kerja pembaikan.
“Pemulihan bekalan air akan dimulakan selepas itu dan dilaksanakan secara berperingkat apabila sistem agihan kembali bertekanan,” katanya.
Menurutnya, pengguna di kawasan yang terletak lebih jauh dalam rangkaian agihan atau di kawasan berkedudukan lebih tinggi mungkin mengalami tempoh pemulihan lebih lama sebelum tekanan air kembali normal.
“Dalam tempoh awal pemulihan, sesetengah pengguna juga mungkin mengalami perubahan warna air sementara akibat perubahan aliran dan tekanan dalam sistem agihan.
“Sarawak Water akan menjalankan kerja pembersihan saluran serta pemantauan kualiti air sekiranya diperlukan ketika sistem kembali stabil,” katanya.
Sarawak Water berkata, keutamaan pihaknya ketika ini adalah memastikan kerja pembaikan diselesaikan dengan selamat dan bekalan air kepada pengguna terjejas dipulihkan secepat mungkin.
“Sarawak Water akan terus memantau proses pemulihan, termasuk pemulihan tekanan dan kualiti air, sehingga sistem kembali stabil sepenuhnya.
“Sarawak Water memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku serta menghargai kesabaran semua pengguna yang terjejas,” ujarnya lagi.
Untuk maklumat lanjut atau bantuan, pengguna boleh menghubungi Talian Hotline Sarawak Water Sdn Bhd (Wilayah Tengah) di 013-810 6311.
Maklumat terkini mengenai kerja pembaikan dan pemulihan bekalan air akan disalurkan menerusi saluran komunikasi rasmi Sarawak Water.
Oleh Akun Giman



