KOTA SAMARAHAN: Kira-kira 60,000 pengunjung telah mengunjungi Pusat Sains Sarawak sejak dibuka secara rasmi minggu lalu, menunjukkan sambutan menggalakkan masyarakat terhadap pendidikan dan pendedahan sains.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, jumlah itu membuktikan masyarakat, khususnya golongan kanak-kanak dan pelajar, mempunyai minat tinggi untuk memahami konsep sains dan teknologi secara lebih praktikal.
Menurutnya, kemudahan interaktif yang disediakan di pusat berkenaan membolehkan pengunjung memahami proses teknologi yang berkaitan dengan kehidupan seharian, termasuk konsep empangan berperingkat (cascading dam) dan tenaga hidrogen.
“Sehingga hari ini, sudah 60,000 pengunjung mengunjungi Pusat Sains itu.
“Mereka boleh memahami bagaimana cascading dam berfungsi, teori graviti, bagaimana air mengalir, memutarkan turbin dan menghasilkan tenaga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pecah tanah Taman Bioindustri Sarawak (SBP) di Kota Samarahan, hari ini.

Abang Johari berkata, pendedahan secara langsung seperti itu penting bagi membina kefahaman masyarakat mengenai prinsip sains dan teknologi, selain menggalakkan generasi muda mendalami bidang berkenaan.
Katanya, Pusat Sains Sarawak turut mempamerkan teknologi berkaitan hidrogen, termasuk demonstrasi roket yang dapat membantu pengunjung memahami aplikasi tenaga hidrogen.
“Sekurang-kurangnya mereka tahu proses saintifik itu. Dengan kesedaran seperti ini, mereka boleh mengaplikasikan penemuan sains lain dan menggunakan sumber kita sebagai asas kepada proses pemecutan teknologi,” katanya.
Menurutnya, kefahaman secara langsung juga penting bagi mengelakkan salah faham masyarakat terhadap teknologi dan pembangunan, termasuk konsep cascading dam yang berbeza daripada empangan konvensional seperti Empangan Bakun.
“Kalau kita sebut empangan, mereka mungkin fikir seperti Empangan Bakun yang menenggelamkan kawasan tanah. Tetapi cascading dam bukan begitu, ia menggunakan aliran air.
“Apabila mereka melihat sendiri model dan prosesnya, mereka akan lebih memahami,” katanya.
Abang Johari berkata, usaha meningkatkan literasi sains dalam kalangan masyarakat merupakan sebahagian daripada pendekatan Sarawak untuk membentuk generasi yang lebih memahami teknologi dan seterusnya menentukan hala tuju pembangunan negeri.
Katanya, kesedaran tersebut juga penting bagi menyokong aspirasi Sarawak memanfaatkan sumber semula jadi melalui penyelidikan dan inovasi teknologi.
Oleh Afiq Sallehi




