KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kini berada pada fasa akhir persediaan bagi melaksanakan Kajian Semula Persempadanan (KSP) bahagian-bahagian pilihan raya negeri Sarawak, termasuk penyediaan lokasi pameran, notis serta dokumen berkaitan.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata pihaknya ketika ini sedang menyelaras pelbagai keperluan logistik dan pentadbiran sebelum Notis Kajian Semula Persempadanan dapat disiarkan.
Menurutnya, tarikh rasmi pameran KSP akan diumumkan selepas semua persiapan disempurnakan mengikut kehendak Perlembagaan Persekutuan dan persiapan di lapangan.
“SPR kini sedang berada pada fasa akhir bagi persediaan untuk melaksanakan urusan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Negeri Sarawak.
“Sehubungan itu, SPR sedang menyelaras segala keperluan logistik, pentadbiran termasuk penyediaan tempat-tempat pameran, notis serta dokumen yang berkaitan sebelum Notis Kajian Semula Persempadanan dapat disiarkan,” katanya dalam maklum balas soalan dan jawapan media kepada Utusan Sarawak, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan mengapa SPR tidak melaksanakan terus KSP selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak meluluskan penambahan 17 kerusi pada 7 Julai tahun lalu.
Ramlan menjelaskan, kelulusan DUN Sarawak bagi penambahan kerusi merupakan salah satu prasyarat untuk membolehkan KSP dilaksanakan, namun proses itu tidak boleh dimulakan serta-merta sebaik sahaja kelulusan berkenaan diterima.
Sebaliknya, katanya, SPR perlu terlebih dahulu melaksanakan pelbagai persediaan teknikal dan pentadbiran termasuk menganalisis data pemilih, menyediakan syor sempadan baharu serta meneliti faktor-faktor berkaitan.
“SPR juga perlu memenuhi prinsip-prinsip persempadanan yang ditetapkan di bawah Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan, menyediakan dokumen kajian serta menyelaras bersama pelbagai agensi berkaitan dalam menilai perkara tersebut,” katanya.
Beliau berkata, kesemua proses berkenaan perlu dilaksanakan dengan teliti dan tidak tergesa-gesa bagi memastikan KSP yang dijalankan berasaskan maklumat serta mematuhi sepenuhnya kehendak Perlembagaan Persekutuan.
“Ini bagi menjamin integriti dan keadilan Kajian Semula Persempadanan yang dilaksanakan kelak,” katanya.
Mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan, SPR diberi tempoh dua tahun untuk menyiapkan KSP sesuatu unit kajian, bermula apabila Notis Kajian Semula Persempadanan disiarkan sehingga laporan akhir dihantar kepada Perdana Menteri.
Dalam pada itu, Ramlan berkata, penggunaan 17 bahagian pilihan raya baharu itu dalam pilihan raya negeri akan datang turut bergantung kepada penyempurnaan beberapa proses perlembagaan.
Ia termasuk kelulusan di peringkat Dewan Rakyat, perkenan Yang di-Pertuan Agong dan pewartaan.
Katanya, sekiranya semua proses tersebut dapat diselesaikan sebelum pembubaran DUN Sarawak, bahagian pilihan raya baharu boleh digunakan dalam pilihan raya berkenaan.
“Sebaliknya, sekiranya mana-mana proses tersebut belum selesai sebelum pembubaran DUN, maka pilihan raya hendaklah dijalankan berdasarkan bahagian pilihan raya yang masih berkuat kuasa pada ketika itu,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, SPR turut memaklumkan bahawa taklimat kepada Pegawai Daerah yang juga merangkap Pegawai Pengurus Pilihan Raya baru-baru ini merupakan langkah awal persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum DUN Sarawak Ke-13 yang boleh dilaksanakan pada bila-bila masa.
Beberapa siri taklimat turut dirancang bagi memastikan petugas SPR yang bakal dilantik mempunyai tahap kesiapsiagaan dan kemahiran mencukupi dalam mengurus serta melaksanakan tugasan pilihan raya.
Oleh Shahrul Qaizat




