SETIAP kali menjelang 31 Ogos, kita kembali berbicara tentang kemerdekaan, patriotisme dan pengorbanan generasi terdahulu. Bendera dikibarkan, lagu kebangsaan berkumandang dan sejarah perjuangan diulang.
Namun, selepas hampir tujuh dekad kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dan lebih enam dekad pembentukan Malaysia, kita perlu berani bertanya satu soalan yang lebih besar: adakah kita benar-benar sudah merdeka dari segi pemikiran, nilai, integriti dan tanggungjawab kewarganegaraan?
Kemerdekaan bukan hanya kebebasan daripada penjajah. Sebuah negara boleh bebas daripada pemerintahan asing tetapi masih terpenjara oleh rasuah, salah guna kuasa, politik kebencian, ketaksuban kepartian, kemiskinan pemikiran dan kegagalan menghormati institusi.
Pembinaan negara bangsa
Perbincangan ini menjurus kepada aspek pembinaan negara bangsa yang bertanggungjawab yang memberikan fokus aspek kebebasan sebagai warisan kita dan warisan kita ialah integriti dan tanggungjawab kita.
Walaupun integriti bukan warisan automatik, ia perlu dibina, dipertahankan dan dibuktikan oleh setiap generasi.
Dari sudut sejarah, masyarakat Malaysia juga perlu lebih matang dalam memahami makna 31 Ogos. Sesungguhnya, tarikh 31 Ogos 1957, Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Seterusnya, Malaysia pula dibentuk pada 16 September 1963 melibatkan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura ketika itu.
Namun bagi Sarawak, 22 Julai 1963 mempunyai kedudukan sejarah yang tersendiri apabila kerajaan sendiri dibentuk sebelum lahirnya Malaysia.

Oleh itu, kita tidak seharusnya terperangkap dalam polemik dangkal tentang tarikh mana yang “lebih penting”. Ketiga-tiga tarikh mempunyai kedudukan sejarah masing-masing.
Bagi rakyat Sarawak, menghormati 31 Ogos tidak bermaksud melupakan 22 Julai atau 16 September. Sebaliknya, memahami ketiga-tiganya menunjukkan kematangan sejarah.
Patriotisme tidak sepatutnya dibina dengan menghapuskan fakta. Patriotisme yang matang lahir apabila rakyat berani menerima sejarah secara lengkap.
Pemahaman ilmu sosiologi
Daripada perspektif sosiologi, negara bukan hanya sebuah wilayah dengan sempadan. Negara wujud apabila rakyat daripada latar belakang yang berbeza mempunyai rasa bahawa mereka berkongsi masa depan yang sama.
Benedict Anderson pernah membicarakan bangsa sebagai imagined community iaitu sebuah komuniti yang dibayangkan. Jutaan rakyat dalam sebuah negara tidak saling mengenali, tetapi mereka mempunyai perasaan bahawa mereka sebahagian daripada satu komuniti politik.
Dalam konteks Malaysia, cabaran kita ialah memastikan imaginasi bangsa ‘kita’ itu benar-benar merangkumi semua Melayu, Cina, India, Iban, Bidayuh, Melanau, Kadazan-Dusun, Bajau, Orang Ulu, Orang Asli dan pelbagai komuniti lain.
Malaysia tidak akan menjadi kukuh jika sebahagian rakyat merasakan sejarah mereka hanya menjadi nota kaki kepada sejarah nasional.
Sebaliknya, kita perlu membina satu naratif besar Malaysia yang cukup luas untuk menerima pengalaman Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak tanpa memaksa semuanya masuk ke dalam satu cerita yang terlalu sederhana.
Perspektif antropologi penting
Identiti manusia tidak pernah tunggal. Seorang Iban boleh menjadi Iban, anak Sarawak dan warga Malaysia pada masa yang sama. Seorang Melayu Sarawak boleh mempunyai identiti negeri yang kuat sambil tetap mempunyai kesetiaan nasional. Begitu juga seorang Sabah atau Semenanjung.
Negara yang kuat bukan negara yang memaksa rakyat membuang identiti tempatan untuk menjadi nasional. Negara yang kuat ialah negara yang membolehkan identiti tempatan berkembang dalam satu kerangka kebangsaan yang lebih luas.
Sebab itulah federalisme bukan perkara kecil. Bagi Sarawak dan Sabah khususnya, federalisme ialah soal pengiktirafan terhadap sejarah, hak, kepelbagaian budaya dan kedudukan wilayah.
Ia bukan hanya soal pembahagian kuasa pentadbiran antara Putrajaya dan kerajaan negeri. Hubungan Persekutuan-negeri perlu dibina berdasarkan kepercayaan. Putrajaya tidak seharusnya melihat tuntutan hak negeri secara automatik sebagai ancaman kepada nasionalisme.
Negeri pula tidak seharusnya menggunakan sentimen wilayah sehingga menimbulkan persepsi bahawa identiti nasional tidak lagi penting. Kedua-duanya perlu bergerak dalam kerangka saling menghormati.
Pengalaman dunia antarabangsa
Masyarakat juga perlu memahami bahawa pembentukan sebuah negara secara bertahap bukan sesuatu yang luar biasa. Amerika Syarikat sering dijadikan contoh kerana negeri-negerinya menyertai kesatuan pada waktu yang berbeza.
Ketika Amerika mendapat kemerdekaan pada tahun 1776 hanya terdapat 13 negeri (koloni), akhirnya Amerika selepas itu mempunyai 50 negeri dengan penyertaan terakhir oleh Alaska dan Hawaii pada 1959.
Tetapi terdapat contoh lain. Kanada, misalnya, bermula sebagai konfederasi pada 1867 dan mempunyai empat negeri akan tetapi, negeri Newfoundland hanya menyertai Kanada pada 1949 manakala wilayah terakhr ialah Nunavut pada 1999 dan kini mempunyai 10 negeri dan tiga wilayah.
India mencapai kemerdekaan pada 1947, India mempunyai 565 negeri beraja dan wilayah British. Namun selepas penyusunan pentadbiran, India kini mempunyai 28 negeri dan lapan wilayah persekutuan. Sikkim hanya menjadi sebuah negeri dalam India pada 1975.
Sudah tentu konteks setiap negara berbeza. Sarawak dan Sabah bukan Newfoundland, Hawaii, atau Sikkim.
Namun perbandingan ini penting kerana ia mengajar masyarakat satu perkara: sebuah negara moden boleh terbentuk melalui proses sejarah yang bertahap.
Justeru, tidak ada keperluan untuk memanipulasi sejarah demi membuktikan patriotisme. Yang lebih penting mekanisme semua wilayah disantuni selepas berada dalam sebuah negara bersama.
Merdeka dan tanggungjawab
Kita sering bercakap tentang hak – hak bersuara, hak mengundi, hak mendapat pembangunan, hak menuntut kerajaan yang baik. Tetapi negara tidak boleh hidup dengan tuntutan hak semata-mata. Kewarganegaraan juga membawa tanggungjawab.
Rakyat mempunyai tanggungjawab menolak fitnah. Penjawat awam mempunyai tanggungjawab menjaga amanah. Ahli politik mempunyai tanggungjawab tidak menyalahgunakan kuasa.
Akademik mempunyai tanggungjawab mempertahankan kebenaran. Media mempunyai tanggungjawab membezakan fakta daripada sensasi dan pemimpin mempunyai tanggungjawab paling besar.
Kita tidak boleh bercakap tentang merdeka jika kuasa masih dianggap sebagai peluang memperkayakan diri. Kita tidak boleh berbangga sebagai negara merdeka jika rasuah dipandang ringan dan jenayah seperti dadah kurang dapat dibendung.
Kita tidak boleh mengajar anak-anak tentang patriotisme pada bulan Ogos tetapi pada bulan-bulan lain kita menerima politik kebencian, fitnah dan manipulasi. Inilah paradoks Malaysia.
Kita begitu ghairah mempertahankan simbol negara, tetapi kadangkala kurang ghairah mempertahankan nilai yang menjadikan negara itu bermaruah.
Integriti bukan slogan
Integriti bermaksud berani mengatakan bahawa sesuatu yang salah tetap salah walaupun dilakukan oleh kalangan masyarakat kita dan inilah ujian sebenar kematangan demokrasi.
Negara juga perlu menilai kemerdekaan melalui keadilan sosial. Apakah makna kemerdekaan kepada rakyat pedalaman jika akses jalan raya, air bersih, sekolah berkualiti, kesihatan dan internet masih jauh daripada memadai?
Apakah makna pertumbuhan ekonomi jika jurang pembangunan antara wilayah terus melebar? Merdeka mesti dirasakan bukan sahaja di Putrajaya, Kuala Lumpur atau bandar-bandar besar tetapi juga di Kapit, Belaga, Lawas, Marudi, Baram, Semporna, Pensiangan dan kawasan pedalaman yang lain.
Sebab itu pembangunan wilayah bukan isu pinggiran. Ia isu nasional.Jika seorang anak di pedalaman mempunyai peluang pendidikan yang jauh lebih rendah hanya kerana tempat kelahirannya, maka projek pembinaan negara masih belum selesai.
Hari Kebangsaan seharusnya menjadi masa untuk kita menilai sejauh mana perjalanan itu telah kita tempuh.Tarikh 31 Ogos tidak harus sekadar menjadi hari pesta patriotik. Ia sepatutnya menjadi hari muhasabah nasional.
Apakah institusi kita semakin kuat?
Apakah politik kita semakin bermaruah?
Apakah rakyat semakin bersatu?
Apakah jurang wilayah semakin mengecil?
Apakah generasi muda benar-benar memahami sejarah Malaysia?
Yang lebih penting, apakah kita mewariskan sebuah negara yang lebih baik kepada generasi seterusnya?
Bagi rakyat Sarawak, 31 Ogos tetap mempunyai makna sebagai sebahagian daripada sejarah kebangsaan Malaysia hari ini. Namun maknanya menjadi lebih lengkap apabila diletakkan bersama 22 Julai dan 16 September.
Tidak perlu ada pertentangan antara tarikh-tarikh ini. Malaysia cukup besar untuk meraikan kesemuanya.
Malah, semakin tepat kita memahami sejarah, semakin kuat asas negara. Generasi terdahulu telah memberikan kepada kita kebebasan. Cabaran generasi hari ini jauh berbeza. Kita tidak lagi berjuang menghalau penjajah dari bumi sendiri.
Kita berjuang menentang penjajahan bentuk baharu seperti rasuah, kejahilan, ekstremisme, ketidakadilan, ketirisan, politik kebencian dan hilangnya rasa tanggungjawab terhadap kepentingan bersama.
Sebab itu, makna Merdeka hari ini harus lebih dewasa. Kebebasan adalah warisan kita. Integriti ialah tanggungjawab kita.
Jika generasi dahulu sanggup berkorban untuk mendapatkan kemerdekaan, maka generasi kita sekurang-kurangnya mesti mempunyai keberanian untuk menjaga amanah kemerdekaan itu.
Negara boleh runtuh apabila rakyatnya hilang kepercayaan, pemimpinnya hilang integriti dan institusinya hilang maruah. Merdeka yang sebenar bukan hanya apabila penjajah telah pergi. Sebaliknya apabila kita mampu memerintah diri sendiri dengan adil, berintegriti dan bertanggungjawab.
- Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah ahli akademik di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau kini ialah Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara dan Felo Kanan Akademi Kenegaraan Malaysia.





