Kes tikam pelajar: Mahkamah tetap 22 September untuk sebutan semula

Facebook
WhatsApp

BANTING: Mahkamah Majistret Telok Datok di sini hari ini menetapkan 22 Sept depan sebagai tarikh sebutan semula kes seorang remaja perempuan yang didakwa atas pertuduhan cubaan membunuh seorang pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah menengah di sini.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Syafiq Yazid berkata tarikh sebutan semula itu ditetapkan Majistret Maslinda Selamat berikutan laporan psikiatri terhadap tertuduh berusia 15 tahun itu masih belum siap.

Muhammad Amirul Syafiq berkata prosiding secara tertutup itu berjalan tanpa kehadiran tertuduh.

Pada 10 Julai lepas, remaja perempuan itu dihadapkan ke mahkamah sama atas pertuduhan cubaan membunuh seorang pelajar tingkatan tiga.

Pertuduhan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 10 tahun dan denda atau penjara hingga 20 tahun, atau boleh dihukum dengan hukuman mati jika kecederaan dilakukan dan tertuduh tertakluk kepada hukuman penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

 Tiada pengakuan direkodkan daripada remaja berkenaan, selain mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta di Tanjung Rambutan, Perak.- Bernama