SIBU: Polis berjaya mengesan pemilik kenderaan Perodua Bezza yang dipercayai terlibat dalam kemalangan jalan raya membabitkan seorang pejalan kaki di Jalan Oya, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saint Elizabeth, di sini, pada 6 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira 4.28 petang pada hari kejadian.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila seorang pejalan kaki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah Perodua Bezza di lokasi berkenaan.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan dan telah mendapatkan rawatan susulan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, hasil siasatan lanjut mendapati pemilik kenderaan berkenaan berjaya dikesan dan telah tampil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu, bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, polis turut mengesan satu video tular berkaitan kejadian itu yang dimuat naik di media sosial.
“Pihak polis merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada orang ramai yang telah menyalurkan maklumat sehingga membantu mengesan kenderaan yang terlibat.
“Kerjasama dan keprihatinan masyarakat amat dihargai serta membuktikan bahawa kerjasama erat antara polis dengan masyarakat amat penting dalam membantu melancarkan proses siasatan dan penguatkuasaan undang-undang,” katanya.
Abang Zainal berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Oleh Tarani Lanting





