AI pemacu industri masa depan, belia Sarawak perlu bersedia kuasai teknologi

Facebook
WhatsApp
PENGERUSI TEGAS, Datuk Len Talif Salleh berucap di Pro-DR, bertempat di SMK Belawai, hari ini. Foto TEGAS

TANJUNG MANIS: Kecerdasan buatan (AI) bakal menjadi antara pemacu utama industri global, sekali gus menuntut generasi muda Sarawak mempersiapkan diri dengan penguasaan teknologi, Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta kemahiran teknikal bagi merebut peluang pekerjaan pada masa hadapan.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, berkata perubahan teknologi yang begitu pantas memerlukan Sarawak menyediakan tenaga kerja yang mampu memenuhi keperluan industri baharu.

“Dunia hari ini berubah begitu pantas. Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut menekankan bahawa dunia kini berada di ambang era baharu yang dipacu oleh inovasi, transformasi digital dan kecerdasan buatan (AI) sebagai pemacu utama industri global.

“Bagi Sarawak, fokus utama kerajaan adalah untuk menterjemahkan kemajuan ini kepada peluang pekerjaan berkualiti tinggi bagi golongan muda serta menyediakan tenaga kerja yang bersedia memenuhi keperluan industri baharu agar Sarawak kekal berdaya saing di peringkat global,” katanya.

Len Talif, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata demikian ketika merasmikan Program Projek Impian Direalisasikan (Pro-DR) edisi ke-11 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Belawai, hari ini.

Katanya, transformasi pendidikan perlu memberikan penekanan kepada STEM dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi menyediakan generasi muda dengan asas pengetahuan serta kemahiran praktikal yang diperlukan dalam pasaran pekerjaan.

“Justeru, untuk mendepani pasaran kerja masa hadapan, transformasi pendidikan kita haruslah berpaksikan STEM dan TVET. Kita memerlukan formula yang mantap, iaitu STEM sebagai asas teori dan TVET sebagai kemahiran aplikasi praktikal. Kedua-duanya saling melengkapi seperti irama dan lagu.

“Melalui integrasi ini, kita mampu melahirkan generasi baharu yang berkemahiran, berdaya saing serta mampu berkembang dalam industri berasaskan pengetahuan, inovasi dan teknologi,” katanya.

Dalam memperluas pendedahan terhadap AI, beliau berkata Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) akan menganjurkan Festival Pencipta Borneo (BMF) pada 23 Ogos 2026 di TEGAS Digital Village Kuching dengan tema “Kecerdasan Buatan untuk Pencipta”.

“Festival ini merupakan platform inovasi dan kreativiti yang menghimpunkan inovator serta peminat teknologi untuk menerokai aplikasi AI dalam bidang robotik, fabrikasi digital dan seni kreatif.

“Melalui pengisian seperti pertandingan inovasi serta bengkel interaktif berkaitan STEM dan keusahawanan, saya berharap festival ini dapat menginspirasikan belia Sarawak untuk memanfaatkan teknologi moden bagi menyelesaikan masalah komuniti tanpa melupakan nilai warisan tradisional kita,” katanya.

DATUK Datuk Len Talif Salleh bergambar bersama warga SMK Belawai. Foto TEGAS

Mengulas mengenai Pro-DR, Len Talif yang juga Pengerusi TEGAS berkata program itu merupakan kesinambungan kejayaan Pameran Kerjaya dan Latihan Sarawak (SCaT) yang berlangsung di Kuching pada awal Jun lalu, dengan siri jelajah tahun ini merangkumi 14 lokasi di seluruh Sarawak selama 29 hari.

Katanya, jelajah tersebut melibatkan 45 institusi pendidikan dan latihan, agensi kerajaan serta penyedia bantuan kewangan, manakala SMK Belawai menjadi destinasi ketujuh bagi siri Pro-DR.

“Sejak 2015, TEGAS telah menjadi tunjang utama dalam memastikan masyarakat Sarawak, khususnya di luar bandar, tidak ketinggalan dalam arus teknologi dan kemahiran.

“Jika dahulu anak-anak Sarawak di luar bandar perlu ke bandar besar untuk mencari peluang, kini melalui konsep pusat sehenti Pro-DR, kita membawa maklumat mengenai bantuan kewangan, peluang akademik dan pembangunan ekonomi belia terus ke kawasan mereka,” katanya.

Katanya, dalam konteks Tanjung Manis, pembangunan pesat kawasan itu, termasuk peningkatan jaringan perhubungan, membuka lebih banyak ruang kepada penduduk tempatan untuk menyertai sektor ekonomi bernilai tinggi.

“Tanjung Manis bukan lagi seperti tiga atau empat dekad yang lalu. Hari ini, ia adalah lambang masa depan Sarawak yang cerah.

“Kehadiran kita membawa mesej yang sangat penting untuk warga Tanjung Manis. Jambatan Tuanku Haji Bujang yang menghubungkan Sarikei dan Tanjung Manis, serta rangkaian logistik dan ekonomi yang semakin berkembang, kini menjadikan pergerakan dan hubungan antara kawasan lebih pantas,” ujarnya.

Tambahnya, Tanjung Manis kini diiktiraf sebagai hab pembangunan strategik dalam sektor marin, pembuatan dan logistik yang berpotensi mewujudkan peluang kerjaya profesional yang lebih luas kepada penduduk tempatan.

“Oleh sebab itu, saya menggesa para pelajar dan belia di kawasan ini supaya merebut peluang yang dibawa terus kepada anda, demi mempersiapkan diri untuk mengisi ruang dan peluang pekerjaan yang terhasil daripada pembangunan pesat di kawasan ini,” katanya.

Beliau turut menyeru warga pendidik serta ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) memainkan peranan dalam membimbing generasi muda menentukan hala tuju pendidikan dan kerjaya mereka.

“Kepada warga belia, manfaatkanlah peluang keemasan ini melalui Jelajah Pro-DR untuk menimba ilmu dan merancang hala tuju kerjaya demi memperkasa ekonomi Sarawak,” katanya.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif TEGAS Udin Bujang, Pegawai Daerah Tanjung Manis, Ismail Kasah selaku wakil Residen Mukah, Pegawai SISC+ PPD Daro, Hassim Maliki selaku wakil Pegawai Pendidikan Daerah Daro dan Pengetua SMK Belawai Mohammad Latif Rapili.

Oleh Earl Anek