KETUA Jurulatih Harimau Malaya Tan Cheng Hoe berharap pemainnya akan dapat belajar sesuatu daripada perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1, menentang pasukan ke-99 dunia Bahrain, di Stadium Nasional Bahrain di Riffa hari ini.
Cheng Hoe menyatakan aksi persahabatan menentang Bahraian itu sepatutnya memberikan mereka ‘bayangan’, bagaimana mereka sepatutnya bermain dalam perlawanan penting menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada 3 Jun di Dubai.
Ini kerana beliau berkata, Bahrain bermain dengan cara yang sama dengan permainan UAE terutamanya dalam serangan dan pertahanan.
“Pemain perlu belajar dan perhatikan cara Bahrain menyerang dan bertahan, kerana mereka permainan mereka lebih kurang seperti UAE, dan jika pemain kita boleh lakukannya, kita tentunya bersedia untuk perlawanan menentang UAE,” katanya dalam sidang media secara maya semalam.
Jurulatih berusia 52 tahun itu berharap, pemain akan dapat menghadapi tekanan selepas kekalahan 1-4 kepada Kuwait pada perlawanan Ahad lepas, dengan mengambil langkah lebih berhati-hati ketika bertemu Bahrain, kerana pasukan itu telah seri dalam pertemuan menentang Ukraine, dalam satu lagi perlawanan persahabatan pada hari yang sama.
Cheng Hoe berkata, pasukan kejurulatihannya masih lagi menilai tahap kecergasan pemain mereka, termasuk taktik yang akan digunakan ketika menentang Bahrain, hari ini.
Dalam masa yang sama Cheng Hoe telah memberikan ingatan kepada pemainnya untuk menjangkakan perlawanan yang lebih hebat daripada UAE, yang kelihatan lebih kuat berbanding ketika pertemuan mereka di Bukit Jalil pada 10 September 2019.
Bekas jurulatih Kedah itu memberitahu pemainnya untuk berjaga-jaga dengan penyerang UAE Ali Mabkhout, yang melakukan hatrik ketika membantu pasukannya mengalahkan Jordan 5-1 dalam perlawanan persahabatan Isnin lepas kerana pemain itu mampu memberikan kesukaran kepada pertahanan Harimau Malaya pada perlawanan yang akan datang.
Selepas bertemu UAE, Malaysia akan menamatkan perlawanan Kumpulan G mereka dengan bertemu Vietnam pada 11 Jun dan Thailand 15 Jun ini.-Bernama