KUALA LUMPUR: Kelab Perempuan Membaca, satu inisiatif di bawah naungan Perbadanan Kota Buku (Kota Buku) hari ini secara rasmi diisytiharkan sebagai kelab membaca terbesar di Malaysia.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pengiktirafan itu bukan sekadar satu pencapaian simbolik, malah mencerminkan kesungguhan wanita dalam memartabatkan budaya ilmu sebagai agenda utama pembinaan negara.
Beliau berkata budaya membaca dalam kalangan wanita perlu dipupuk sejak awal usia serta dikekalkan merentas generasi bagi mewujudkan ekosistem pembacaan dan keilmuan yang tinggi demi masa depan negara.
“Apabila kita membicarakan tentang perempuan membaca, ia bukan sekadar konteks pembacaan itu sahaja tetapi bagaimana membaca ini adalah sebahagian daripada agenda membina negara,” katanya ketika berucap pada program Kelab Perempuan Membaca di sini hari ini.
Beliau ketika mengulas mengenai program hari ini berkata inisiatif itu bukan sekadar menghimpunkan pencinta buku, malah menjadi platform memperkukuh budaya ilmu dengan menggalakkan perkongsian bahan bacaan mengikut tema setiap bulan.
Beliau berkata tema “Perempuan dan Negara” yang dipilih bagi sesi kali ini memberi ruang untuk mengetengahkan karya-karya yang mengangkat peranan wanita dalam membentuk peradaban masyarakat.

Pada masa sama, Fadhlina menyarankan agar lebih banyak karya yang mendokumentasikan pengalaman serta sumbangan tokoh wanita Malaysia dihasilkan bagi menjadi rujukan dan inspirasi kepada generasi masa hadapan.
Justeru, beliau berkata Kelab Perempuan Membaca akan meneruskan pertemuan secara bulanan sebagai sebahagian daripada Gerakan Membaca Negara yang dilaksanakan secara organik, selain menggalakkan ahli berkongsi bahan bacaan masing-masing bagi memperluas budaya membaca dalam masyarakat.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kota Buku Adibah Omar ketika ditemui selepas program itu berkata Kelab Perempuan Membaca yang dilancarkan pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada Jun lepas akan diperluaskan ke seluruh negara menerusi kerjasama dengan pelbagai pihak.
Beliau berkata langkah itu susulan maklum balas positif diterima daripada wanita di seluruh negara yang mahu menyertai inisiatif berkenaan, namun berdepan kekangan lokasi kerana berada di luar Lembah Klang.
“Sekiranya ada pihak yang mahu bekerjasama dengan Kota Buku untuk menganjurkannya di negeri masing-masing, maklumkan kepada kami. Kami buka ruang sebesar-besarnya untuk kita bersama-sama membangunkan kumpulan pembaca wanita seluruh negara,” katanya.
Kelab berkenaan kini mempunyai kira-kira 5,000 ahli berdaftar yang digalakkan menelaah pelbagai judul buku berdasarkan tema bulanan yang ditetapkan. – Bernama




