Tarian naga, singa perkukuh keharmonian masyarakat berbilang kaum Sarawak

Facebook
WhatsApp
AMANAT… Dato Lo Khere Chiang ketika berucap merasmikan Piala Tarian Naga dan Singa Antarabangsa Terbuka Sarawak 2026 di Batu Kawa, hari ini. Foto Norman B

BATU KAWA: Tarian naga dan singa bukan lagi sekadar warisan masyarakat Cina, sebaliknya berkembang sebagai aktiviti kebudayaan yang menyatukan masyarakat pelbagai kaum di Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Lo Khere Chiang berkata, keunikan itu dapat dilihat menerusi penglibatan masyarakat daripada pelbagai latar belakang etnik dalam pasukan tarian naga dan singa di negeri ini.

Menurutnya, banyak pasukan di Sarawak mencerminkan semangat keterangkuman itu, termasuk pasukan dari Mukah dan Dalat yang kira-kira 80 peratus anggotanya terdiri daripada masyarakat Melanau, Dayak dan Melayu.

SIMBOLIK… Dato Lo Khere Chiang menyempurnakan simbolik perasmian Piala Tarian Naga dan Singa Antarabangsa Terbuka Sarawak 2026 di Batu Kawa, hari ini. Foto Norman B

“Keunikan Sarawak ialah aktiviti tarian naga dan singa bukan sahaja diterima oleh masyarakat Cina, malah turut disertai masyarakat daripada pelbagai latar belakang etnik.

“Kepelbagaian ini menunjukkan tarian naga dan singa telah menjadi aktiviti kebudayaan yang menyatukan masyarakat, sekali gus menggalakkan persefahaman antara kaum, perpaduan sosial dan keharmonian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Piala Tarian Naga dan Singa Antarabangsa Terbuka Sarawak 2026 di Dewan Serbaguna Kuari Ang Cheng Ho, Batu Kawa, di sini, hari ini.

KENANGAN… Dato Lo Khere Chiang bersama tetamu kehormat dan peserta merakamkan gambar kenangan sempena Piala Tarian Naga dan Singa Antarabangsa Terbuka Sarawak 2026 di Batu Kawa, hari ini. Foto Norman B

Tambahnya, kejohanan berprestij yang mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak itu kini menjadi antara acara yang dinanti-nantikan dalam kalendar kebudayaan dan sukan negeri.

Edisi ketiga kejohanan itu menghimpunkan 44 pasukan dari China, Brunei Darussalam, Indonesia, Singapura dan Malaysia, susulan kejayaan penganjurannya pada 2024 dan 2025.

Jelasnya, kejohanan itu bukan sahaja mengetengahkan kekayaan warisan budaya dan tradisi kesenian, malah menyediakan pentas kepada pasukan tarian naga dan singa terbaik di rantau ini untuk mempamerkan kemahiran kepada penonton tempatan dan antarabangsa.

Pada masa sama, penganjuran pertandingan tarian naga dan singa di peringkat tempatan dan antarabangsa mampu menyediakan peluang pembangunan jangka panjang kepada atlet, jurulatih, hakim dan pegawai teknikal.

PENGHARGAAN… Dato Lo Khere Chiang menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta Piala Tarian Naga dan Singa Antarabangsa Terbuka Sarawak 2026 di Batu Kawa, hari ini. Foto Norman B

Katanya, usaha berterusan itu penting bagi memastikan tradisi kebudayaan berkenaan terus berkembang dan diwarisi oleh generasi akan datang.

Beliau turut memuji Persatuan Seni Mempertahankan Diri Cina (CMAA) serta jawatankuasa penganjur atas kejayaan menganjurkan kejohanan berkenaan.

Menurutnya, komitmen itu turut membantu memperkukuh reputasi Sarawak sebagai destinasi utama pelancongan budaya serta penganjuran acara sukan antarabangsa.

Beliau berharap kejohanan itu dapat mengeratkan persahabatan, memupuk sikap saling menghormati serta memperluas pertukaran budaya dalam kalangan peserta menerusi semangat kesukanan.

Oleh Norman B