KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) terus memantau situasi jerebu di Sarawak susulan laporan pergerakan jerebu terkini yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) hari ini.
Pengerusi JPBNS, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata jerebu yang melanda beberapa kawasan di Sarawak ketika ini berpunca daripada faktor rentas sempadan apabila corak tiupan angin membawa asap daripada titik panas di kawasan berjiran masuk ke wilayah ini.
“Berdasarkan penilaian terkini, jerebu rentas sempadan dijangka menjejaskan beberapa kawasan di Sarawak dalam beberapa hari akan datang.
“Orang awam dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada serta memantau bacaan terkini Indeks Pencemaran Udara (API) dan makluman rasmi,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.
Antara kawasan yang dikenal pasti terjejas ialah Betong, Bintulu, Daro, Julau, Kanowit, Kuching, Lundu, Marudi, Miri, Mukah, Pakan, Samarahan, Saratok, Serian, Sibu, Simunjan, Song, Sri Aman dan Tatau.
Ramalan terkini menunjukkan kualiti udara berpotensi merosot di beberapa kawasan dengan kepekatan PM2.5 pada paras tidak sihat diramalkan di Miri dan Serian pada hari ini, diikuti Betong pada esok. Keadaan cuaca dan corak tiupan angin juga boleh berubah dari semasa ke semasa.
Sehubungan itu, Uggah yang juga Timbalan Premier Sarawak menasihatkan orang awam supaya mengurangkan aktiviti luar, terutama senaman lasak, apabila kualiti udara merosot. Pintu dan tingkap juga disaran ditutup ketika keadaan jerebu berada pada paras tinggi.
Mereka yang perlu berada di luar rumah disaran memakai pelitup muka yang sesuai, khususnya kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah pernafasan.
Pengambilan air yang mencukupi juga digalakkan, manakala mereka yang mengalami kesukaran bernafas, ketidakselesaan dada atau batuk berterusan dinasihatkan mendapatkan rawatan perubatan.
“Orang awam juga diminta supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan melaporkan sebarang aktiviti kebakaran atau pembakaran terbuka kepada pihak berkuasa berkaitan,” katanya.
Pembakaran terbuka merupakan satu kesalahan di bawah Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak, dengan pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM100,000, hukuman penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Sebarang kes pembakaran terbuka boleh dilaporkan kepada Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) melalui talian 082-447 488 atau 082-319 500.
JPBNS bersama MetMalaysia, NREB, Jabatan Alam Sekitar (DOE) dan agensi berkaitan akan terus memantau perkembangan jerebu serta menyelaras langkah tindak balas yang diperlukan bagi melindungi kesihatan dan keselamatan orang awam.
Orang awam juga diminta kekal tenang, mengambil langkah berjaga-jaga yang sewajarnya serta mendapatkan perkembangan terkini hanya melalui saluran rasmi.
Oleh Adi Safarman





