Lee Kim Shin sumbang RM10,000, suntik semangat kontinjen MSSB Miri buru gelaran juara Sarawak

Facebook
WhatsApp
UNTUK ALBUM...Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin merakamkan gambar kenangan bersama kontinjen Majlis Sukan Sekolah Bahagian (MSSB) Miri selepas  menyampaikan bendera kontinjen dan cek sumbangan berjumlah RM10,000  sebagai tanda sokongan menjelang Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Sarawak (MSS Sarawak) 2026.

MIRI: Kontinjen Majlis Sukan Sekolah Bahagian (MSSB) Miri menerima suntikan semangat menjelang Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Sarawak (MSS Sarawak) 2026 apabila Menteri Pengangkutan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin, menyampaikan sumbangan berjumlah RM10,000 sebagai tanda sokongan terhadap pembangunan sukan olahraga di bahagian itu.

Sumbangan tersebut disampaikan pada Majlis Penyerahan Bendera dan Cek Sumbangan Kontinjen MSSB Miri Tahun 2026, yang turut menjadi simbolik pelepasan rasmi kontinjen bagi menghadapi kejohanan peringkat negeri.

Dalam ucapannya, Lee mengucapkan tahniah kepada semua atlet yang terpilih mewakili Bahagian Miri dan menyifatkan pemilihan itu sebagai pengiktirafan terhadap komitmen, disiplin serta usaha gigih yang telah dipamerkan sepanjang latihan dan pertandingan di peringkat bahagian.

Beliau berkata, Miri mempunyai rekod cemerlang dalam kejohanan MSS Sarawak apabila sering muncul juara, dan berharap kontinjen tahun ini mampu merampas semula gelaran tersebut selepas muncul naib juara pada edisi lalu.

Lee yang pernah berkhidmat sebagai Menteri Muda Belia dan Sukan turut mengingatkan bahawa ramai atlet bertaraf kebangsaan memulakan perjalanan mereka melalui kejohanan sukan sekolah sebelum melangkah ke pentas SUKMA, Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Olimpik.

Beliau percaya kejohanan seperti MSS Sarawak menjadi medan penting mencungkil bakat baharu untuk masa depan sukan negeri dan negara.

Menurut beliau, kontinjen MSSB Miri tahun ini dianggotai 82 atlet dari Daerah Miri, 25 atlet dari Daerah Baram, 18 atlet dari Daerah Subis serta 41 pegawai dan jurulatih dari ketiga-tiga daerah berkenaan.

Beliau menyeru semua anggota kontinjen agar bersatu hati, berdisiplin dan bekerjasama sebagai satu pasukan demi mengharumkan nama Bahagian Miri.

Lee berkata, sumbangan RM10,000 itu bertujuan membantu meringankan beban perbelanjaan kontinjen, khususnya kerana Daerah Miri menghantar bilangan atlet paling ramai, selain memastikan urusan pengurusan pasukan dapat dilaksanakan dengan lebih lancar sepanjang kejohanan.

Beliau berharap bantuan itu menjadi pembakar semangat kepada seluruh kontinjen untuk memberikan persembahan terbaik dan membawa pulang kejayaan membanggakan.

Oleh Liong Chai Ling