UKPS Tanjung Manis bantu logistik air bagi naziran Loji Rawatan Air Paloh

Facebook
WhatsApp
PEGAWAI UPPSM Jabatan Premier Sarawak bersama anggota Markas UKPS Tanjung Manis bergambar bersama di Jeti Pusaka Tanjung Manis sebelum bergerak ke Loji Rawatan Air Paloh bagi pelaksanaan naziran lapangan.

TANJUNG MANIS: Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) melalui Markas UKPS Tanjung Manis melaksanakan bantuan pengangkutan bot serta aspek keselamatan perairan bagi menyokong pelaksanaan naziran Unit Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia (UPPSM), Jabatan Premier Sarawak ke Loji Rawatan Air Paloh (JBALB Sarawak).

Naziran tersebut bertujuan melaksanakan tinjauan serta pemantauan lapangan terhadap stesen-stesen kerja di kawasan pedalaman yang memerlukan akses melalui laluan air.

Bagi memastikan kelancaran pergerakan, aset bot SC TERUSAN 1203 bersama anggota Markas UKPS Tanjung Manis digerakkan dari Jeti Pusaka Tanjung Manis pada 10.00 pagi untuk membawa pegawai naziran ke lokasi berkenaan.

Loji Rawatan Air Paloh merupakan antara lokasi yang hanya boleh diakses menggunakan laluan air, sekali gus memerlukan sokongan logistik serta kawalan keselamatan sepanjang perjalanan.

Selesai pelaksanaan naziran, semua pegawai terlibat bersama aset bot SC TERUSAN 1203 selamat kembali ke Jeti Pusaka Tanjung Manis.

UKPS berkata, komitmen berterusan dalam menyediakan sokongan logistik dan keselamatan perairan adalah sebahagian usaha memastikan penyampaian perkhidmatan awam kerajaan Sarawak berjalan dengan cekap, khususnya di kawasan pedalaman.

Oleh Afiq Sallehi

Kepulangan terakhir Koperal Chiu, keluarga iringi penghormatan terakhir

SIBU: Di sebalik kepulangan jenazah Koperal Chiu Teck Siong ke kampung halamannya hari ini, balu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu hanya mampu memikirkan masa depan lima anak mereka yang masih kecil, terutama soal pendidikan selepas kehilangan tonggak keluarga dalam tragedi renjatan elektrik di Beaufort, Sabah, semalam. Tan Wei Wei, 39, berkata, keutamaan beliau ketika ini ialah memastikan kelima-lima anak mereka mendapat pembiayaan pendidikan yang mencukupi memandangkan mereka masih kecil. “Yang saya fikir sekarang ialah pendidikan masa depan mereka. Mereka semua masih kecil, sedangkan gaji suami bukanlah besar,” ujarnya ketika ditemui di Ching Chuan Sibu Mortuary Hall di Jalan Bukit Lima di sini, lewat petang tadi. Beliau berkata, lima anak mereka masing-masing berusia 11, 10, sembilan, tujuh dan empat tahun. Menurutnya, empat anak yang lebih besar bersekolah di SJK(C) Tung Hua, Sibu, manakala anak bongsu mengikuti pendidikan prasekolah di Tadika Sing Antong. Tan berkata, mendiang suaminya telah lama berhasrat untuk dipindahkan semula bertugas ke Sibu supaya dapat tinggal bersama keluarga, namun hasrat itu tidak kesampaian. “Memang sudah lama dia hendak berpindah balik ke sini, tetapi belum berjaya,” katanya. Beliau berkata, kali terakhir anak-anak dapat meluangkan masa bersama bapa mereka ialah ketika sambutan Tahun Baharu Cina lalu. Koperal Chiu, 40, merupakan antara tiga anggota polis yang maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menggunakan galah logam untuk mengambil kelapa di luar Balai Polis Weston, Beaufort, Sabah, semalam. Jenazah beliau diterbangkan dari Lapangan Terbang Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kota Kinabalu dan tiba di Lapangan Terbang Sibu pada 5.50 petang. Van yang membawa jasad mendiang kemudian diiringi kenderaan polis serta ahli keluarga ke Ching Chuan Sibu Mortuary Hall di Jalan Bukit Lima. Upacara penghormatan terakhir akan diadakan di dewan berkenaan pada 7.30 pagi esok sebelum mendiang dibawa ke Nirvana Memorial Park untuk upacara pembakaran. Abu mendiang kemudian akan disemadikan di Methodist Grace Memorial Park di Jalan Kemuyang. Dua lagi mangsa yang turut terkorban dalam kejadian itu ialah Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29, dan Lans Koperal Muhammad Raimi Ismarubee, 26. Ketiga-tiga mereka bertugas di Balai Polis Weston, Beaufort. Oleh Akun Giman